Sunday, 10 November 2024

KEUNTUNGAN BERLEBIHAN DIANGGAP RIBA?

 
Islam mengharamkan riba. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah, ayat 275)
 
Manakala sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jauhilah kamu daripada tujuh dosa besar ini (perkara yang membinasakan). Para sahabat bertanya: Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari peperangan dan menuduh wanita yang beriman dengan berzina”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Umumnya, setiap transaksi dalam Islam hendaklah menepati tatacara yang ditetapkan oleh syariah seperti menepati rukun dan syarat akad jual beli beserta mengelakkan segala perkara yang boleh membatalkan akad. Namun begitu, apabila pembelian melibatkan item ribawi, ia memerlukan perhatian khusus agar tidak terjerumus dalam kancah riba.
 
Apakah itu riba? Riba berlaku dalam jual beli yang melibatkan item ribawi seperti yang disebutkan dalam hadis  yang bermaksud: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta” (Hadis riwayat Muslim)
 
Jumhur ulama ketika mensyarahkan hadis di atas menyebut bahawa ‘illah (sebab) berlaku riba dalam urusan jual beli dua perkara, iaitu nilai mata wang dan makanan. Jadi, segala jenis item sama ada berbentuk nilai mata wang seperti emas, perak, Ringgit Malaysia (RM), Dolar Amerika Syarikat (USD) ataupun makanan seperti beras, tepung gandum, dan lain-lain yang berkaitan, disebut sebagai ‘item ribawi’. (Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/107)
 
Jenis-jenis riba dalam mazhab Syafie adalah seperti berikut:
1) Riba al-Fadl: Iaitu riba yang terjadi disebabkan berlaku jual beli yang tidak sama kuantitinya sedangkan kedua-duanya daripada jenis barang item yang sama. Contohnya, menukar segantang beras kategori A dengan segantang dan secupak beras kategori B, jadi yang lebih secupak itu adalah riba.
 
2) Riba al-Nasiah: Iaitu riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan item ribawi ataupun duit pembayaran secara sengaja kemudian dikenakan caj tambahan. Contohnya A meminjamkan wang sejumlah RM500 kepada B dan memberi tempoh membayar balik selama sebulan dan apabila B gagal melangsaikan hutang itu dalam tempoh yang ditetapkan, maka A mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM100 jadi tambahan ini adalah riba.
 
3) Riba al-Yadd: Iaitu riba yang berlaku disebabkan lewat menyerahkan item ribawi walaupun tidak diletakkan syarat penangguhan.
 
Apa pula pendapat mengatakan keuntungan berlebihan dianggap sebagai riba? Contohnya keuntungan ditetapkan oleh pihak bank dalam urusan pembiayaan pembelian rumah yang biasa dikenakan oleh perbankan Islam.
 
Dalam mazhab Syafie definisi riba ialah akad yang dimeterai sebagai pertukaran barang tertentu tetapi pada ketika akad dimeterai pertukaran ini tidak diketahui kesamarataannya menurut ukuran Syarak ataupun penyerahan salah satu atau kedua-dua barangan tersebut dilewatkan. (Mughni al-Muhtaj 2/21)
 
Jadi, untung berlebihan tidak termasuk dalam kategori riba. Bagaimana ada pula yang mengatakan untung berlebihan itu riba? Menariknya, pihak yang mengatakan untung berlebihan itu adalah riba tidak pula menetapkan berapa peratus untung yang diperoleh sebelum dikatakan untung itu adalah riba?
 
Adakah untung 5 peratus, 10 peratus, 30 peratus, 100 peratus atau 300 peratus dikira riba? Apa kayu pengukur syarak?
 
Katakanlah untung lebih dari 100 peratus itu riba, maka mereka pun akan kata pembiayaan di perbankan Islam itu ada riba. Mereka lupa, dengan tuduhan macam itu, untung mak cik jual nasi lemak, mamak yang jual teh tarik dan roti canai semuanya akan jadi riba. Ini kerana mamak yang jual teh tarik dengan harga RM2 secawan, sedangkan kosnya hanya 50 sen sahaja. Jadi, untungnya adalah 400 peratus. Adakah untung 400 peratus itu adalah riba?
 
Sebaliknya, jika pinjam RM100 bayar balik RM101, RM1 yang lebih tu memanglah dikira riba biarpun tidak terasa terbeban dan bukan untung berlebihan atau tidak pun terasa tertindas, tetapi berdasarkan hukum syarak jumlah RM1 itu adalah riba.
 
Jadi, bukan jumlah yang menentukan riba atau tidak. Sebaliknya ia adalah sepertimana ketetapan syariat yang perlu dipatuhi.

No comments:

Post a Comment