Orang yang belum mempunyai
pekerjaan tentu mengharapkan sangat peluang pekerjaan untuknya. Ketika memohon
pekerjaan, sudah tentu janji yang diberikan ialah ingin bekerja dengan penuh
dedikasi dan produktiviti.
Dengan kata lain, seseorang yang diterima bekerja atau diberi kepercayaan
melakukan sesuatu tugasan telah bersedia menerima beban amanah dan
tanggungjawab. Janji dan ikrar itu perlu dilaksanakan dengan ikhlas untuk
menghasilkan mutu kerja yang terbaik.
Sikap melakukan tugas secara terpaksa dan sentiasa mencari peluang untuk
curi tulang bermakna menafikan amanah yang diterima ketika ditawarkan
pekerjaan. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang yang beriman,
sempurnakanlah janjimu." (Surah al-Maidah, ayat 1).
Umum mengetahui bahawa sesuatu kerja atau jawatan terbentuk daripada
kontrak perjanjian yang dipersetujui bersama antara pekerja dengan majikan.
Pekerja berjanji akan melaksanakan tugas dan sebagai balasan dia mendapat gaji.
Manakala majikan pula bersetuju memberi gaji atas tugas yang dilakukan oleh
pekerja.
Perbuatan tidak jujur dalam melaksanakan kerja menyebabkan gaji yang
diterima tidak bersih sepenuhnya. Hal ini secara tidak langsung menghilangkan
keberkatan rezeki yang diperoleh. Rezeki yang tidak berkat menimbulkan masalah
dalam kehidupan seharian.
Sebab itu, setiap pekerja perlu menetapkan niat ikhlas melakukan amanah
yang diserahkan kepadanya. Tugas dilakukan dengan penuh bersemangat,
bersistematik, dan mementingkan penghasilan yang baik.
Keikhlasan melakukan tugasan amat penting sesuai dengan konsep menjadikan
kerja sebagai ibadah. Pekerja yang melakukan tugas dengan ikhlas mampu
meningkat dalam kerjayanya. Tugas yang dilakukan dengan baik pastinya mendapat
ganjaran yang setimpal daripada majikan.
Lebih penting lagi, apa yang dilakukan itu dinilai oleh Allah untuk dibalas
dengan kebajikan. Hidup orang yang ikhlas dalam setiap amalan dilakukan
sentiasa diberkati Allah, dan menikmati kehidupan yang penuh ketenangan.
Dia tidak takut kerjanya dipertikaikan pihak lain. Apa yang dilakukan
berdasarkan apa yang sepatutnya dia lakukan sebagai pekerja dan hamba-Nya. Dia
tidak perlu mengampu atau bodek pihak atasan untuk mendapat apa yang tidak
sepatutnya.
Dengan kata lain, keikhlasan menentukan ganjaran apa yang diperoleh.
Seseorang mungkin melakukan satu perkara yang sama, tetapi mendapat pembalasan
berlainan di sisi Allah mengikut apa yang diniatkan. Sebenarnya bukan susah
untuk mewujudkan perasaan ikhlas jika mempunyai kekuatan iman.
Semua apa yang dilakukan dunia ini akan dibawa sebagai bekalan pada hari
pembalasan. Setiap amalan itu ada pahala dan dosanya. Bagi amalan
ditegah sudah pasti dicampakkan ke neraka. Tetapi, amalan yang pada
asasnya satu kebaikan, belum pasti membawa ke syurga kerana bergantung kepada
apa yang diniatkan.
Sebuah hadis diriwayatkan Baihaqi menjelaskan yang bermaksud: “Pada hari
kiamat nanti, dunia akan dibawa, kemudian diasing-asingkan apa-apa yang
dikerjakan kerana Allah dan apa-apa yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu
dicampakkannya ke dalam api neraka.”
Sedarlah, setiap apa yang dilakukan di dunia ini dibalas di akhirat nanti.
Jadi, ikhlaskan setiap tugas dan perbuatan untuk mencari keredaan Allah. Mereka
yang ikhlas dalam menjalani amanah Allah sebagai khalifah pasti mendapat
kebahagiaan di dunia dan apa yang diusahakan untuk bekalan di akhirat juga
terlaksana.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah dalam mentarbiah diri agar sentiasa
mengutamakan keikhlasan dalam setiap apa yang dilakukan. Beruntunglah orang
yang memiliki sifat ikhlas kerana dalam sifat itu terkandung nilai jujur,
istiqamah dan amanah.
No comments:
Post a Comment