Friday, 8 February 2019

SUKAR JADI PEMIMPIN MELAYU


Isu kepimpinan Melayu menjadi bahan perbincangan hangat setiap kali berlaku pilihan raya atau berlaku pemilihan pada peringkat parti. Mungkin kerana orang Melayu rata-rata beragama Islam di negara ini, maka nilai kemelayuan itu selalu dikaitkan dengan sifat yang dikehendaki sebagai pemimpin Muslim juga.

Tidak mudah menjadi pemimpin Melayu sebenarnya, khususnya dalam senario negara pelbagai kaum. Pemimpin kerajaan dari kalangan Melayu harus memakai dua pakaian, sepasang sebagai pemimpin rakyat Malaysia, sepasang lagi sebagai pemimpin Melayu.

Ada pandangan semasa yang mengatakan pemimpin Melayu tidak wajar lagi menjadi juara bangsanya. Mereka harus melihat daripada kerangka minda yang lebih besar. Lalu mereka akan cuba mengatakan perlunya dibenamkan saja hal-hal seperti Agenda Melayu atau sebarang dasar yang pro-Melayu.

Tetapi tuntutan sedemikian tidak pula terdengar dipaksakan pada pemimpin kaum lain. Malah seringnya ada pemimpin bukan Melayu yang berselindung di sebalik kepelbagaian budaya atau multi-culturalism untuk mengetengahkan agenda perkauman secara halus.

Titik tolaknya ialah niat perjuangan masing-masing. Idealisme boleh padam oleh waktu dan keperluan. Bara perjuangan juga boleh pupus. Malah, hari ini usaha memperjuangkan nasib orang Melayu boleh dicemuh oleh orang Melayu sendiri.

Zaman berubah, begitu juga nilai dan kepentingan. Pemimpin Melayu hari ini memerlukan kekuatan luar biasa untuk menempatkan di mana sebenarnya mereka, di antara menjadi realis, pragmatis atau oportunis.

Biarlah kisah pemimpin besar Islam menjadi pedoman. Biarlah kitab Sejarah Melayu dipelajari oleh semua. Biarlah buku ungkapan nasihat yang ditulis oleh Tenas sentiasa menjadi rujukan.

Moga-moga di tengah haru-biru perjuangan bangsa Melayu sekarang ini,  mereka akan diberikan kekuatan dan pedoman untuk terus memperjuang dan membela bangsa, agama dan tanah air. Itupun sekiranya konsep itu tidak dijadikan bahan cemuhan anak bangsanya sendiri.

No comments:

Post a Comment