Saturday 23 February 2019

BERTINDAK SECARA HIKMAH


Islam mengajar cara yang benar dan berhikmah untuk menyelesaikan apa-apa masalah yang berkaitan kepentingan umat Islam. Cara demikian akan meletakkan Islam pada kedudukan yang lebih dihormati dan menarik minat orang bukan Islam kepada ajaran Islam. 

Sebagai umat Islam kita perlu mencontohi apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dalam setiap perkara. Contohilah bagaimana Nabi Muhammad sentiasa bersabar dalam melaksanakan tugas menyebar agama tauhid. 

Ketika Rasulullah menyebarkan Islam di Makkah selama 13 tahun, pelbagai halangan dihadapi penuh kesabaran. Baginda tidak bertindak balas secara ekstrem terhadap orang yang memusuhi baginda.   

Rasulullah lebih mementingkan kebijaksanaan, bersabar dan memohon pertolongan Allah ketika berdepan dengan sebarang masalah ketika menjalankan tugas menyebarkan agama Islam.

Cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu ternyata membuahkan hasil yang cemerlang berjaya menarik minat bukan Islam mengucap kalimah syahadat. 

Pengaruh ajaran Islam tersebar secara meluas dengan cepat setelah bertapak dan disebarkan di Madinah. Kejayaan itu dicapai berkat kesabaran, kebenaran dan kebijaksanaan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad ketika berdepan dengan musuh.   

Bukti terbaik menggambar Islam mementingkan kedamaian ialah sejarah pembukaan Kota Makkah. Nabi Muhammad tidak sekali-kali menggunakan kekerasan ketika berjaya menawan kota Makkah. 

Biarpun berkuasa penuh ke atas setiap jiwa penduduk Makkah ketika itu yang layaknya dipanggil tawanan perang, Nabi Muhammad melakukan sesuatu yang tidak pernah diduga oleh penduduk Makkah ketika itu.

Dengan penuh kasih sayang dan kemaafan, Nabi Muhammad memberi keampunan dan kebebasan terhadap seluruh penduduk kota Makkah, termasuk kepada individu yang pernah memusuhi dan ingin membunuh baginda. 

Umat Islam perlu memulih kembali imej Islam yang sentiasa dikaitkan dengan keganasan dan ekstrem. Selain melakukan tindakan ekstrem terhadap bukan Islam, umat Islam juga sering bermusuhan sesama sendiri yang berlarut sehingga berbunuh-bunuhan.

Tindakan bermusuhan sesama Islam amat merugikan umat Islam. Bilangan orang Islam yang menjadi mangsa keganasan orang Islam sendiri lebih banyak berbanding disebabkan bukan Islam. 

Kejadian ini berlaku disebabkan pihak yang terlibat merasakan halal berbunuhan sesama Islam atas dasar memperjuangan Islam. Jelas sekali keadaan yang berlaku adalah sebaliknya. Kedudukan umat Islam di negara yang orang Islam bermusuhan sesama sendiri berada dalam keadaan amat lemah.  

Musuh Islam sentiasa menanti peluang untuk melaga-lagakan sesama Islam supaya umat Islam sentiasa dalam keadaan lemah. Keadaan ini memudahkan untuk musuh Islam menguasai negara Islam yang sedang bergelolak. 

Jelaslah, perbuatan ekstrem dan permusuhan mendatangkan banyak keburukan.  Sesiapa atau kumpulan yang melakukan tindakan itu tidak wajar mendakwa dia melaksanakan jihad kerana ia sebenarnya ditegah daripada dilakukan. 

No comments:

Post a Comment