Thursday 20 June 2019

KENAPA GUNA NAMA ITIK

Terdapat nama yang tiada kaitan langsung dengan itik, tetapi menggunakan nama itik.  Nama yang ada perkataan itik ialah ubi itik, kacang itik, kaki itik dan kuih tahi itik.

Mengapa perkataan itu digunakan untuk nama yang tiada kaitan dengan itik? Mungkinkah kerana rupanya ada iras dengan bahagian tertentu itik?

Mari kita kenal atau 'selidik' mengapa menggunakan nama itik.

Ubi itik. Sejenis pokok yang menjalar, biasanya petani akan membuat junjung agar pokok boleh membesar dan mendapat cahaya matahari secukupnya.

Pokok ubi itik akan menghasilkan ubi pada bahagian akarnya. Bentuk ubi akan kembang macam kipas tangan atau seperti kaki itik. Mungkin kerana itulah dinamakan ubi itik.

Kacang itik. Sejenis pokok kacang yang juga sifatnya menjalar memanjat objek yang ada berhampirannya. Jika menanam kacang itik, pastikan membuat junjung atau para bagi membolehkan pokok menjalar subur dan mengeluarkan buah.

Isi kacang itik apabila digoreng akan kering atau kecut. Bahagian isi atau biji kacang apabila dibelah dua akan nipis dan seakan-akan selaput pada kaki itik. Mungkin itulah sebabnya dinamakan kacang itik.

Kaki itik. Kaki itu ialah sejenis alat yang direka seperti selaput kaki itu untuk kegunaan penyelam. Kaki itik akan dipakaikan di kaki seperti memakai kasut atau selipar. Apabila kaki digerakkan, ia akan memberi tujahan yang lebih untuk melajukan pergerakan berenang.

Berdasarkan kepada rupanya dan fungsinya, maka alat itu dinamakan kaki itik.

Kuih tahi itik. Ia sejenis kuih yang terkenal di Kelantan. Dibuat menggunakan telur putih, bentuk atau struktur kuih seakan-akan tahi itik. Maka itu ia dikenali kuih tahi itik.

No comments:

Post a Comment