Thursday, 15 August 2019

BUAH CUPU RASA MASAM MANIS


Ini buah cupu masak. Buahnya bewarna hijau tua semasa mudanya, berubah menjadi hijau muda bila beransur tua, sehingga menjadi kekuningan seperti warna pinang masak apabila ia masak. 

Nama lain buah cupu ialah buah ceghopu, kecupu, mencupu, cerapu, cekau dan buah cupak. 

Dalam bahasa Inggeris ia disebut sebagai "button mangosteen" atau nama Latinnya ialah "garcinia prainiana".

Jika sudah masak, buah cupu rasanya masam manis. Buah cupu mempunyai getah yang lekit, boleh melekatkan bibir atas dan bibir bawah kita, tetapi tidak sukar untuk dibuang.

Buah cupu masak boleh dimakan segar atau dicicah dengan perasa. Untuk mengupasnya tidak sukar kerana kulitnya lembut dan mudah tanggal dari isinya. Hanya dengan menggunakan jari jemari.

Untuk mudah mengupasnya ia dimulai dari bahagian bekas tangkai yang ditanggalkan. Atau ambil dari bahagian tampuknya.

Isinya berbentuk ulas yang melekat antara satu sama lain, yang tidak sama dengan ulas buah limau yang ada dipisahkan oleh kulit nipis antara setiap ulas.

Jika telah dikupas, boleh dimakan terus sebiji (kerana buahnya tidak besar) atau 'dibelah' kepada bahagian yang lebih kecil yang mudah dilakukan kerana dalam bentuk ulas.

Untuk mendapatkan buah cupu sekarang ini agak sukar kerana pokok cupu yang masih ada semakin berkurangan. Semoga ada pihak terus menanam pokok cupu agar ia tidak pupus.  

No comments:

Post a Comment