Tuesday 5 October 2021

TEMBAKAU ROKOK DAUN DITANAM DI BACHOK

  
Bachok pernah menjadi pengeluar utama tembakau negara. Bagaimanapun, selari dengan dasar kerajaan ingin mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat, pengeluaran tembakau dikurangkan secara berperingkat-peringkat sehingga industri tanaman tembakau hampir mati. 
 
Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang berperanan memajukan industri tembakau telah ditukarkan kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sebagai badan berkanun di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC). 
 
LKTN telah ditubuhkan dengan berkuatkuasanya Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 pada 1 April 2010 bagi menggantikan LTN. 
 
LKTN diberi tanggungjawab untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman komoditi baharu dan tanaman alternatif kepada penanam tembakau selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman 'Sumber Pertumbuhan Baru' di Malaysia. 
 
Namun, kerajaan tidak berhasrat menghapuskan terus penanaman tembakau dalam negara ini kerana yakin kajian mendalam perlu dilakukan bagi melihat potensi komoditi tersebut dalam bidang lain dan bukan hanya tertumpu terhadap pembuatan rokok. 
 
Potensi daun tembakau sebagai bahan dalam bidang farmaseutikal dan kesihatan adalah satu alternatif yang sedang dikenal pasti di peringkat antarabangsa. 
 
Justeru, penanaman tembakau masih diteruskan oleh sebahagian kecil petani di Bachok secara kecil-kecilan. 
 
Jenis tembakau yang ditanam adalah ‘jenis kampung’ yang telah lama ditanam di kalangan penduduk kampung. 
 
Daun tembakau jenis ini dijadikan bahan dalam rokok daun. 
 
Daun tembakau segar yang baharu dipetik akan dipotong halus halus. Ia kemudian akan dijemur di bawah sinar matahari.

No comments:

Post a Comment