Monday 12 August 2024

FUNGSI PACER PERLUMBAAN BASIKAL KEIRIN

 
Pacer menaiki sejenis motosikal elektrik yang dipanggil derny, bertugas dalam perlumbaan basikal keirin. Fungsinya adalah untuk memimpin para penunggang basikal di sekeliling trek, membantu mereka mengekalkan kelajuan tinggi secara konsisten.

Pacer bergerak di hadapan penunggang basikal, menghasilkan aliran udara yang mengurangkan rintangan angin dengan ketara.

Ini membolehkan penunggang mengekalkan kelajuan tinggi dan mencapai kelajuan maksimum dengan lebih efisien.

Pacer juga membantu mengawal rentak perlumbaan pada peringkat awal, memastikan semua penunggang mendapat peluang yang sama. Peranan pacer amat penting untuk mengawal kelajuan dan membawa para pelumba basikal melalui tiga pusingan sebelum keluar daripada trek.

Berdasarkan peraturan perlumbaan, tayar belakang pelumba tidak boleh memotong pacer sebelum pacer keluar di pursuit line iaitu garisan halus di tengah front stretch (bukannya garisan permulaan).

Keirin berasal dari Jepun, dan ia bermaksud ‘perlumbaan beroda’, dan mula dimainkan pada tahun 1948.  Asalnya, sukan ini hanyalah satu acara untuk perjudian, sama seperti lumba kuda. 

Lama kelamaan sukan ini dilihat berpotensi untuk pergi lebih jauh, tambahan pula golongan barat mula mempromosi acara ini di negara masing-masing, maka akhirnya diiktiraf sebagai acara rasmi Union Cycliste Internationale (UCI) – Persekutuan Basikal Antarabangsa.

Pada tahun 1996, acara keirin ini dimasukkan ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Olimpik, untuk diundi sama ada perlu dijadikan sebagai satu acara Olimpik atau tidak, dan pada Olimpik Sydney 2000, keirin menjadi acara rasmi dan dimenangi pengayuh dari Perancis, Florian Rousseau.

Perlumbaan keirin dimainkan dalam jarak 2 kilometer (km), atau 8 pusingan trek velodrome 250 meter, atau 6 pusingan trek velodrome 333 meter. Dari pusingan pertama, pelumba akan mengikut pacer. Kelajuan pelumba perlahan-lahan dinaikkan dari 25 km/j sehingga 50 km/j.

Ketika di belakang pacer, pelumba tidak dibenarkan memotongnya dan tatkala kelajuan mencecah 50 km/j, dan jarak garisan penamat sekitar 600 meter, pacer akan bergerak ke tepi dan memberikan laluan kepada pelumba untuk memecut sepenuh hati sehingga ke garisan penamat.

No comments:

Post a Comment