Saturday 7 January 2017

Hukum baca Fatihah kepada si mati

Hukum baca fatihah kepada si mati. Satu amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat kita apabila mendengar kematian seseorang ialah menyedekahkan bacaan al-Fatihah.  

Kita sering mendengar ungkapan mengajak agar menyedekahkan al-Fatihah kepada seseorang dalam sesuatu majlis.  

Contohnya, "marilah kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah kepada si fulan bin si fulan yang baru sahaja meninggal sebentar tadi…”

Bahkan, kita juga diingatkan agar menyedekahkan al-Fatihan kepada mereka yang telah lama meninggal dunia seperti pejuang negara, tokoh tertentu, sanak saudara dan sebagainya.

Di Facebook dan media sosial lain juga kini menjadi medan untuk menulis “al-Fatihah” sebagai tanda bacaan al-Fatihah telah dibacakan dan disedekahkan kepada si mati. 

Dengan kata lain, perkara itu sudah menjadi satu kebiasaan. Bahkan, dirasakan satu kejanggalan jika tidak melakukan perkara itu jika diketahui ada berita mengenai satu-satu kematian. Kita akan merasa seperti jahil dan tidak sensitif dengan berita kematian itu.

Persoalannya, adakah perbuatan itu suruhan agama?

Sebenarnya, perbuatan membaca al-fatihah kepada si mati atau menyedekahkan pahala bacaannya kepada si mati tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW dan bukan merupakan amalan para sahabat dan kaum salaf.

Tidak diriwayatkan walau satu hadis, cerita atau apa jua kisah bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat pernah melakukan amalan sedekah al-Fatihah kepada orang mati di kalangan mereka.

Isunya bukan soal sampai tak sampai, tetapi soal tak pernah dibuat oleh Nabi SAW dan ianya masalah ibadah serta tidak boleh melakukan sesuatu yang Nabi SAW tidak buat.

Sedekah ialah memberikan sesuatu yang sudah kita miliki. Adapun pahala bacaan al-Fatihah belum tentu dimiliki oleh kita kerana boleh jadi saja ianya ditolak oleh Allah SWT kerana tidak ikhlas, tidak betul tajwid atau salah sebutan bacaan sehingga maknanya lari.

Lalu jika pahala al-Fatihah itu pun belum dijamin dapat, bagaimana mahu diberikan kepada orang lain? Kalau sedekah harta dan sesuatu milik kita maka hal tersebut sudah jelas dan sememangnya diterima oleh syarak.

Sebenarnya, jika kita boleh menyedekahkan pahala bacaan al-Fatihah, maka kita juga boleh menyedekahkan pahala bacaan ayat al-Quran lain. Ini kerana, membaca al-Quran mendapat pahala tanpa mengira ayat atau surah mana. 

Berkata Abdullah bin Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu hasanah (kebaikan), dan setiap satu hasanah baginya 10 pahala. Aku tidak katakan آلم satu huruf, bahkan alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf." (Hadis riwayat Tirmizi).

No comments:

Post a Comment