Saturday 7 January 2017

Hina Rasulullah perbuatan keji

Hina Rasulullah, umat Islam perlu bijak selesaikan. Penghinaan terhadap peribadi Rasulullah SAW bukan perkara baru.

Semasa hayat baginda pun perkara ini telah berlaku. Rasulullah SAW berdepan cabaran besar untuk menyebarkan Islam. Namun, berkat kesabaran dan kebijaksanaan melaksanakan dakwah, Islam dapat berkembang dengan baik.

Persoalannya, mengapakah ada individu atau kelompok yang masih menzahirkan rasa tidak tidak berpuas hati atau marah terhadap Rasulullah SAW sedangkan baginda sudah lama wafat?

Keuntungan atau ganjaran apa yang diharapkan oleh mereka dengan menghina Rasulullah SAW? Mereka tidak mendapat pujian atau pengiktirafan atas usaha itu. Bahkan, mereka berdepan dengan pelbagai masalah apabila umat Islam bangkit membantah perbuatan itu.

Inilah sebenarnya perang psikologi yang dilakukan bukan Islam terhadap umat Islam. Mereka sebenarnya secara tidak langsung memberi isyarat bahawa Islam bukan agama yang baik kerana ia dicipta oleh Nabi Muhammad yang digambarkan sebagai manusia sukakan perbuatan tertentu.

Sesungguhnya apa yang diperkataan oleh bukan Islam itu adalah dusta semata-mata. Hakikatnya Rasulullah SAW adalah pembawa rahmat ke seluruh alam.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tiada Kami utuskan engkau melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam semesta.” (Surah al-Anbiya, ayat 107).

Bahkan, Rasulullah SAW turut mendapat pengiktirafan bukan Islam, antaranya ialah Sir Herbert Spencer (1820-1903) dalam bukunya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, Ushulul Ijtima.

Sir Spencer menulis: “Hendaklah kamu menjadikan Muhammad sebagai contoh politik agama yang benar, dan seorang yang paling jujur dalam menerapkan sistemnya yang kudus di tengah-tengah umat manusia seluruhnya. Muhammad merupakan sesuatu yang dijadikan amanat yang dijelmakan dalam kejujuran yang murni, siang dan malam selalu tekun membangunkan umatnya.”

Disorot kembali beberapa siri penghinaan yang dilakukan melalui media atau yang dianggap oleh mereka sebagai tanda kreativiti melalui seni. 

Di Bangladesh, Salam Azad telah menghina Rasulullah SAW dalam bukunya berjudul “Bhanga Math” (Broken Temple). Di Mesir pernah mencetuskan kebangkitan kemarahan mahasiswa terhadap novel yang ditulis oleh Haidhar bin Haidhar.

Filem yang berjudul Innocence of Islam diarahkan oleh Sam Bacile telah mencetuskan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia pada tahun 2012.

Pada tahun lepas 2012, sebuah majalah Perancis menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW.  Pada tahun 1988, Salman Ruhdie menghasilkan The Satanic Versus yang mencetuskan fenomina kebencian terhadapnya sehingga dia menerima ancaman bunuh.

Itu hanya sekelumit paparan mengenai penghinaan terhadap Rasulullah SAW. Pihak yang memusuhi Islam sebenarnya tidak akan berpuas hati dan berhenti melaksanakan niat jahat itu. Mereka akan mengguna seluruh saluran yang boleh menzahirkan hasrat buruk itu.

Kita perlu ingat, isu yang berkaitan agama dan kaum amat sensitif di negara kita yang rakyatnya berbilang kaum dan agama anutan.

Diharapkan, di kalangan umat Islam sendiri tidak ada yang terpengaruh dengan niat buruk bukan Islam. Amat buruk kesannya sesiapa menolak kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Semua umatku akan masuk syurga kecuali yang membangkang". Lalu sahabat bertanya; "Siapakah dia yang membangkang wahai Rasulullah?"

Jawab baginda: "Orang yang mentaatiku akan masuk syurga, manakala orang yang menderhaka terhadapku bererti dia membangkang." (Hadis riwayat Bukhari). 

No comments:

Post a Comment