Saturday 7 January 2017

Mencari bekal hidup akhirat

Ibadat bekalan hidup di akhirat. Dosa pahala yang dilakukan sepanjang hidup di dunia menentukan kehidupan lepas mati. Hidup manusia diletakkan tanggungjawab untuk beribadat kepada Allah SWT. Kehidupan manusia tidak sama seperti haiwan yang tidak akan menerima pembalasan atas apa yang dilakukan.   

Allah SWT menjadikan hidup di dunia bukan sia-sia atau secara main-main tetapi ada tanggungjawab tertentu. Manusia diberi akal fikiran supaya tidak terikut-ikut dengan gaya menyalahi fitrah. Hidup di dunia bertujuan untuk mencari bekalan hidup di akhirat. 

Allah SWT berfirman bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? (Surah al-Mukminun, ayat 115)

Apakah kita bersedia dengan bekalan akhirat untuk menghadapi kehidupan yang kekal di sana. Nilaikan sendiri adakah gaya hidup, tingkahlaku dan amalan sehari-hari menjurus persediaan menjadi ahli syurga atau sudah pun tergelincir sebagai ahli neraka.  

Mereka lebih banyak timbangan pahala dimasukkan ke syurga, manakala neraka pula menerima mereka lebih banyak melakukan dosa. Pahala dan dosa kedua-duanya adalah bekalan hidup di akhirat, pahala bekalan baik dan dosa pula bekalan tidak baik.  

Kita dapat menilai sendiri kemungkinan hidup di akhirat berdasarkan garis panduan hidup yang telah ditetapkan Allah SWT.  

Jika banyak melakukan perkara disuruh dan meninggalkan perkara dilarang, insya-Allah di akhirat nanti menjadi penghuni syurga. Sebaliknya, neraka menjadi tempat bagi mereka yang hidupnya bergelumang dengan dosa.

Semestinya setiap muslim perlu berusaha untuk mengumpul pahala sebanyak mungkin dan menghindarkan daripada dosa untuk bekalan di akhirat.  

Manusia sering dilalaikan daripada melalukan kebaikan disebabkan terlebih mengejar kebahagiaan hidup di dunia. Justeru, Allah SWT memberi peringatan bahawa kehidupan di akhirat itu lebih utama.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?." (Surah Yusuf, ayat 109).

No comments:

Post a Comment