Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah
membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam.
Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan.
Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan.
Keterangan/Hujah:
1. Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:
i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain.
Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu
sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudaratkan badan.
ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan.
Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari
merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak, ulser perut,
penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak
lagi.
iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada di negara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai.
Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000
kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru,
mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon
dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok.
Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat
berbagai jenis penyakit dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara kehilangan produktiviti.
iv. Imam Syafie telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu: "Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.
v. Para ulama sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudaratkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:
a. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
b. Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 157 bermaksud; “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
c. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak boleh memberi mudarat dan membalas dengan kemudaratan”. (Hadis riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)
d. Kaedah Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”
e. Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, menegaskan bahawa: “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:
i. Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, sama ada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.
iii. Membuang wang, betapa kecil jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
vi. Beberapa negara Islam dan beberapa ulama muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok.
Antaranya seperti berikut:
a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan.
b. Ulama Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.
c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.
2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum haram terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qatie oleh Allah SWT dalam kitab suci al-Quran.
Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok
telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama terdahulu dan masa kini
bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti
al-Quran, al-Hadis, Ijma Ulama, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya.
Ayat-ayat al-Quran dan hadis seperti yang dinyatakan di atas jelas telah
memperincikan isu ini.
3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyah menyatakan: “Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama-ulama fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkan untuk menetapkan hukum berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”
“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan ada perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”
Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudarat dan bahaya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.
No comments:
Post a Comment