Thursday, 12 January 2017

Perokok sedar bahaya rokok

Kerajaan sentiasa berusaha untuk mewujudkan suasana kehidupan yang berkualiti untuk rakyat. Antara usaha yang dilakukan kerajaan ialah menyedarkan rakyat tentang bahaya perbuatan merokok. Kerajaan mengeluarkan biaya besar untuk mengadakan kempen antimerokok, termasuk di kalangan remaja. 

Usaha pencegahan awal dapat mengelak remaja terjebak dalam perangkap yang membawa mereka menjadi penagih tegar rokok. Kebanyakan perokok mula terjebak amalan merokok sejak usia remaja dan kekal menjadi perokok tegar sehingga dewasa.

Satu fenomena baru yang membimbagkan ialah bilangan remaja perempuan yang terlibat gejala merokok meningkat dengan mendadak. Tabiat buruk itu menjadi menarik minat remaja perempuan yang terpangaruh dengan persekitaran bersama-sama dengan remaja lelaki yang merokok.   

Fenomena ini mengubah anggapan yang mengaitkan merokok hanya dilakukan oleh lelaki. Kini bilangan wanita merokok semakin meningkat, terutama melibatkan remaja perempuan. Sekiranya perkara ini dibiarkan tanpa pencegahan, ia akan memberi kesan buruk kepada generasi akan datang. Kesan bahaya merokok lebih besar terhadap wanita, terutama yang melibatkan sistem repuduksi dan kesan kepada anak yang dikandung.

Merokok adalah tabiat berisiko yang patut dijauhi sama sekali. Perokok harus peka akibatnya dari segi kesihatan terhadap diri sendiri, keluarga dan orang lain. Tidak ada bukti dapat mengaitkan perbuatan merokok untuk kebaikan. Sebaliknya perokok terpaksa menanggung masalah kesihatan, emosi, sosial dan kewangan yang teruk.    

Fakta menunjukkan kira-kira 20 bilion batang rokok dihisap di negara ini setiap tahun. Perokok telah membakar duit bernilai RM4.8 bilion setiap tahun. Jumlah itu amat besar yang mendatangkan kerugian kewangan kepada individu dan negara. Itu belum masuk bilangan dan harga rokok seludup yang dianggarkan berjumlah kira-kira satu pertiga jumlah yang sah.

Majoriti perokok terdiri golongan miskin dan berpendapatan sederhana.  Perbelanjaan untuk membeli rokok melibatkan peratusan besar daripada pendapatan yang diperoleh. Manakala remaja pula membeli rokok menggunakan wang pemberian ibu bapa yang sebenarnya untuk kegunaan perbelanjaan lain.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, setiap tahun 10,000 rakyat Malaysia mati akibat penyakit berkaitan dengan tabiat merokok.  Jumlah itu terbesar berbanding kematian disebabkan penyakit lain. Kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan besar untuk kos perubatan merawat penyakit berkaitan dengan tabiat merokok.   

Di Amerika Syarikat pula dianggarkan kira-kira 430,000 orang setahun meninggal akibat penyakit berkaitan merokok. Kemajuan teknologi perubatan di Barat tidak mampu untuk membantu penyakit kronik berpunca tabiat merokok. Tabit buruk ini nampaknya tidak mampu mengubah pemikiran masyarakat yang dikatakan lebih ke hadapan dalam semua hal.    

Kerajaan memang mengambil tindakan tegas dalam usaha memerangi tabiat merokok. Proses ini dilakukan secara berperingkat-peringkat berdasarkan kepada faktor tertentu yang perlu diambilkira. Faktor ekonomi dan sikap perokok yang sukar untuk terus meninggalkan tabiat merokok diambil kira. Tambahan, tentu sukar untuk perokok berhenti serta merta dan menolak satu amalan yang telah sebati dalam diri.

Beberapa dekad lalu, iklan ‘kesegaran’ dan ‘kehebatan’ jenama rokok menjadi penaja di stesen televisyen, majalah, akhbar dan buku. Iklan rokok menjadi penyumbang utama kepada pendapatan stesen televisyen, majalah dan akhbar.

Sebagai langkah pertama, iklan rokok yang memaparkan kotak rokok dan aktiviti merokok diharamkan, tetapi masih membenarkan jenama rokok diiklankan menggunakan barangan atau aktiviti tertentu. Sebagai langkah seterusnya, sekarang kerajaan telah mengharamkan sebarang bentuk iklan melibatkan jenama rokok di media massa. 

Usaha kerajaan melakukan kempen antimerokok berdasarkan kepada fakta bahawa kajian perubatan yang mendapati 90 peratus pengidap barah berpunca perbuatan merokok. Barah paru-paru adalah kanser paling tinggi berlaku di kalangan perokok dan menjadi pembunuh nombor satu di dunia. 

Individu mengidap barah paru-paru tidak mempunyai peluang panjang untuk terus hidup lama. Kira-kira 95 peratus pesakit barah paru-paru meninggal dunia dalam tempoh lima tahun selepas disahkan mengidapnya.  

Selain barah paru-paru, perokok juga terdedah kepada barah mulut, barah tekak, barah esofagus, barah rahim dan barah pankreas. Selain berkaitan barah, perokok juga mudah mendapat penyakit arteri jantung, tersekat saluran darah, kurang daya kecerdasan otak dan lemah tenaga batin.

Jika sebelum ini kita merasa selamat daripada kesan rokok apabila tidak merokok, ia satu tanggapan yang salah. Seseorang yang berada di samping perokok juga mendapat kesan buruk asap rokok. Orang berada di samping perokok dikenali perokok pasif, yang mana menyedup asap yang dibebaskan oleh perokok.

Asap rokok yang dibebaskan oleh perokok dipanggil asap tembakau persekitaran (ETS). Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati ETS mengandungi 4,000 bahan beracun, di mana termasuk 22 bahan kimia, 12 agen penyebab barah dan 10 logam berat.

ETS memberi kesan rokok kepada perokok pasif lebih tinggi berbanding perokok sendiri. Di mana, perokok pasif mengalami tiga kali ganda kesan tar, sekali ganda jumlah karbon manoksida, tiga kali ganda nikotin dan 50 kali ganda bahan menyebabkan kanser.

Individu di sekeliling berhak membantah perbuatan perokok kerana kesan buruknya turut ditanggung oleh orang lain. Perokok mengganggu hak orang lain untuk hidup lebih selamat dan selesa. 

Orang yang tidak merokok terpaksa menanggung akibat tabiat buruk perokok. Satu keadaan yang tidak adil dan menceroboh hak orang lain. Sebab itu kita patut menyokong tindakan kerajaan mewartakan tempat awam seperti restoran berhawa dingin, kawasan sekolah, dalam kenderaan awam, kawasan hospital dan tempat orang ramai sebagai kawasan larangan merokok. 

No comments:

Post a Comment