Thursday, 12 January 2017

Karl Marx sejarah fahaman komunis

Fahaman komunis diperkenalkan Karl Marx pada 1847 melalui Manifesto Komunis pernah menjadi anutan berbilion manusia. Namun, fahaman tersebut mula berkembang hanya pada sekitar 1900, sesudah Marx meninggal berbelas tahun. 

Hasil Revolusi Perindustrian di negara-negara Eropah, semakin banyak mewujudkan golongan yang tertindas dan menjadi mangsa kepada golongan yang rakus menggunakan kekuasan dan kekayaan.

Berdasarkan kepada kandungan Manifesto Komunis Marx itu telah mencetuskan beberapa siri peristiwa yang membawa kesan memeranjatkan yang telah mempengaruhi kehidupan seluruh masyarakat Eropah dan Amerika pada katika itu.

Pada 7 November 1917, kerajaan Rusia terpaksa berdepan tentangan pihak yang memperjuangkan dasar fahaman komunis di mana kemuncaknya ialah penahanan Perdana Menteri Aleksander Kerensky. 

Mesyuarat Kongress Soviet All-Russian pada malam itu yang mengundi pada pukul 5.30 pagi telah mengambil keputusan memberi kuasa kepada Vladimir Iiyich Ulynov atau lebih dikenali N. Lenin atau Nikolai Lenin sebagai pemerintah baru Rusia.

Dari detik itulah, Lenin menukarkan Rusia kepada negara Komunis. Beliau yakin dan komited untuk mengamalkan sepenuhnya Manifesto Komunis yang diperkenalkan oleh Marx kira-kira 70 tahun sebelum itu.

Melalui cetusan idea Marx, Lenin yakin banyak masalah yang dihadapi di Rusia dan seluruh dunia dapat diselesaikan jika fahaman komunis dijadikan dasar pemerintahan kerajaan.  

Lenin menetapkan matlamat perlaksanaan fahaman komunis untuk membawa kepada ke arah keamanan, kesejahteraan, kebebasan dan kegembiraan seluruh rakyat.

Sebenarnya, fahaman komunis mula difikirkan oleh Marx apabila mendapati kesan buruk yang timbul akibat Revolusi Perindustrian 1789. 

Marx melihat kewujudan keadaan sosial, politik dan sistem ekonomi yang jelas tidak adil dan kejam kepada rakyat kebanyakan, sedangkan sesetengah golongan menikmati kemewahan yang begitu mudah hasil ekspoltasi tenaga buruh dan penindasan berasaskan kedudukan.

Marx begitu serius memikirkan tentang kesan yang berlaku pada pertengahan abad 19 yang pada pandangannya amat tidak adil di mana keadaan persekitaran pekerjaan yang teruk, kadar upah yang rendah dan hidup pekerja yang tidak diperdulikan tentang untung nasibnya. 

Marx memanggil golongan pekerja ini sebagai proleteriat, iaitu dari perkataan berasal bahasa latin yang bermaksud warga miskin kelas paling rendah dalam masyarakat Roman.  

Manakala golongan pemodal pula dipanggil bourgeoise, iaitu kelompok kecil yang mempunyai pengaruh ke atas pengusaha, saudagar kaya dan kelompok bangsawan.

Berdasarkan kepada pengamatan Marx, dia amat berdukacita di atas eksplotasi pekerja yang dilakukan oleh golongan kaya. Beliau melahirkan rasa kebimbangan bahawa pada suatu hari akan datang di mana masyarakat pekerja di Eropah dan Amerika Syarikat terdiri golongan yang tertindas jika situasi yang beliau amati itu berterusan tanpa dilakukan perubahan ke arah cara lebih adil dan bertimbang rasa.

Pada masa yang sama Marx menjangkakan sekumpulan kaum pemodal pula akan berterusan menikmati kemewahan hidup dari kekayaan yang diwujudkan dari keringat dan tulang empat kerat masyarakat pekerja yang tertindas.

Sebenarnya Marx merumuskan pendapat itu berdasarkan kepada apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia menganalisa dan mencari punca kepada terjadinya situasi itu.  

Rumusan yang dibuat adalah semuanya berpunca daripada sistem ekonomi yang mengamalkan cara tidak sama rata dalam penguasaan tanah, mesin, kilang dan pelaburan modal. 

Pada ketika itu, kedudukan pemodal yang kaya raya amat berkuasa menentukan persekitaran ekonomi dengan menggunakan sepenuhnya kuasa menentukan tahap pengeluaran dan penawaran, yang sekali gus dapat menentukan tingkat harga di pasaran dan jumlah keuntungan yang diingini.

Hasil tindakan itu memberi tekanan kepada masyarakat pengguna. Pekerja industri sendiri termasuk golongan yang tertindas akibat hasil pekerjaan mereka sendiri. 

Revolusi perindustrian hanya mendatangkan keuntungan besar kepada golongan pemodal dan pengusaha, sedangkan golongan pekerja terpaksa hidup dalam keadaan kemiskinan, hina dan berpenyaki tak ubah seperti nasib hamba. 

Berdasarkan kepada keadaan itu, Marx mula memikirkan bagaimana tindakan yang perlu dilakukan untuk mengubahnya. Beliau mengkaji pelbagai pendekatan yang dirasakan dapat menjadi jalan penyelesaian paling berkesan kepada masalah sosial yang semakin teruk itu.

Setelah membuat kajian bertahun-tahun, akhirnya Marx membuat keputusan bahawa jalan penyelesainnya ialah golongan pekerja perlu memiliki sendiri perusahaan dan berkuasa menentukan sendiri segala yang berkaitan dengan perindustrian.

Fahaman itu membawa kepada golongan pekerja telah berusaha mengambil alih pemilikan tanah, mesin-mesin, kilang dan modal. Perkara ini ditulis oleh Marx dalam Manifesto Komunisnya sebagai: “Hal terpenting komunisme ialah merampas harta kaum bourguis.”

Dari situ, golongan pekerja akan memusatkan atau mengumpul segala faktor pengeluaran dalam kuasa negara. Golongan pekerja meletakkan taraf mereka seperti pemerintah yang mana menentukan sendiri hal yang berkaitan dengan ekonomi negara.

Hasil daripada usaha itu maka wujudlah satu negara yang mana masyarakatnya hidup hanya dalam satu kelas atau kelompok. Kehidupan rakyat dirasakan lebih harmoni, tenang dan mengelak daripada timbul perasaan irihati. 
    
Aliran fahaman yang dicetuskan oleh Marx ini sudah tentu membimbangkan pemerintah dan golongan kaya yang merasakan kedudukan mereka sudah pasti tergugat. Tambahan pula ia semakin berkembang dan mendapat sokongan daripada golongan tertindas dalam sistem yang sedia ada. 

Lebih membimbangkan lagi ialah apabila golongan dianggap tertindas sudah bergabung tenaga dan sanggup melakukan kekerasan atau rampasan kuasa untuk mencapai impian hidup sama rata yang diperjuangkan oleh fahaman komunis itu.

Pada peringkat awalnya, Marx mempunyai keyakinan bahawa apa yang dicetuskannya itu akan mula bangkit dan mencapai kejayaan awal di Jerman. Manifesto yang ditulisnya itu dijangka menjadi pencetus semangat kepada satu revolusi menyatakan kehendak sebenar golongan pekerja. 

Lebih menyakinkan jangkaan itu akan menjadi kenyataan ialah pada tahun 1848 telah berlaku keadaan huru hara di kebanyakan negara di Eropah akibat pemberontakan rakyat menentang pemerintah.

Namun, ramalan Marx tidak menjadi kenyataan. Jangkaannya mengatakan negara di Eropah, khususnya di Jerman dan England akan dikuasai fahaman komunis tidak berlaku ketika hayatnya. 

Sebaliknya, negara yang tidak di dalam senarai jangkaannya, iaitu Rusia telah diresapi fahaman komunis dan lahir sebagai negara komunis pertama di dunia. 

Hasil fahaman dan perlaksanaan amalan komunis telah berjaya melahirkan Rusia sebagai negara maju dan kuat menyaingi negara-negara lain di Eropah, termasuk Amerika Syarikat. 

Beberapa dekad kemudian, fahaman komunis telah merebak ke banyak negara Eropah, Asia dan sehingga ke negara-negara di benua Amerika Selatan dan Amerika Tengah.  

Negara-negara itu menjadi ancaman kepada negara dasar kapitalis yang diamalkan oleh kebanyakan negara maju lain.

No comments:

Post a Comment