Thursday, 12 January 2017

Ciri pemimpin wajib ditaati

Apakah ciri-ciri pemimpin yang ditaati? Mungkin persoalan ini yang sering berlegar di fikiran setiap umat Islam yang umumnya berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah. Maka pelbagai tafsiran akan diberikan terutama daripada pemimpin parti politik.

Persoalan ini juga akan digunakan sepenuhnya untuk dijadikan propaganda bagi menarik perhatian rakyat menyokong mereka dengan memberikan gambaran mengelirukan tanpa memikirkan kesan buruk yang semakin menimpa umat Islam.

Sekarang amat jelas kesan perpecahan di kalangan umat Islam sehingga hilang suara majoriti dan terpaksa tunduk kepada tuntutan orang lain. Ini semua disebabkan kita terlupa kepada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, apabila meletakkan kepentingan dan cita-cita politik di tempat yang lebih tinggi.

Pendirian dan sikap Ahli Sunnah wal-Jamaah yang sebenar menyatakan wajibnya taat kepada pemimpin, penguasa dan mereka yang menguruskan urusan kaum Muslimin. Haram mengkhianati mereka terutamanya dalam urusan zakat, jihad, memerangi kesesatan dan kekufuran. 

Wajib bersolat di belakang mereka dan dibelakang orang-orang yang menjadi wakilnya di masjid-masjid yang telah disediakan oleh penguasa Islam. Amat keji perbuatan mereka yang menjadi pengacau, seperti menghasut rakyat untuk mengkhianati pemerintah dalam hal-hal yang telah disebutkan di atas.

Rasulullah SAW bersabda, "Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunahku dengan panduan sunahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (fasik). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya?"

Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta-bendamu". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan kepada kita pemimpin negara ini perlu ditaati walau apa sekali pun. Mentaati pemimpin menjadi sebahagian agenda penting dalam memperkasakan Islam. 

Namun, jika kerajaan sudah tidak mampu untuk menegakkan amalan dan peraturan untuk mempertahankan Islam, maka wajib ditukar kerajaan itu melalui sistem demokrasi. 

Kerajaan Islam mesti mengutamakan kepentingan umat Islam, tanpa mengabaikan tugas kepada rakyat agama lain. Aturan berkaitan Islam perlu diutamakan, berbanding memenuhi kehendak agama lain yang lebih bersikap mencemuh dan membenci peraturan berkaitan Islam. 

Undang-undang syariah adalah untuk orang Islam dan tidak dikenakan terhadap bukan Islam. Jadi, mengapa bukan Islam ingin membantah apa-apa peraturan yang melibatkan orang Islam? Mereka tidak perlu menjadi jaguh kononnya ingin memperjuangkan atas dasar hak kebebasan. 

Terdapat pemimpin yang beragama Islam terikut-ikut dengan fahaman liberalisme dan pluralisme. Mereka menyokong tuntutan bukan Islam kerana ingin mendapat kuasa dan kekal berkuasa. Mereka inilah sebenarnya yang telah dikuasai bukan Islam dan menjadi sebahagian boneka pihak musuh Islam. 

No comments:

Post a Comment