Thursday, 12 January 2017

Pengertian ibadat korban

Dua hari raya dalam Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha mempunyai pengertian yang amat besar. Aidilfitri disambut atas kejayaan menyempurnakan ibadat puasa selama sebulan. 

Manakala Aidiladha menjadi simbol pengorbanan manusia menghampirkan diri kepada Allah melalui ibadat-ibadat yang disyariat sempena kedatangannya.

Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban. Dikenali Hari Raya Haji bersempena pada masa yang sama umat Islam melaksanakan ibadat haji di Makkah.

Manakala dinamakan Hari Raya Korban kerana mengingati kembali peristiwa Nabi Ibrahim ingin melakukan korban terhadap puteranya Nabi Ismail.

Bagi individu yang berkemampuan, sempena Aidiladha disunatkan melakukan ibadat korban. Ibadat korban ialah menyembelih binatang ternakan pada Aidiladha (selepas sembahyang sunat hari Aidiladha) atau pada hari Tasyrid (11, 12 dan 13 Zulhijjah - hingga tenggelam matahari 13 Zulhijjah) kerana ibadat kepada Allah.

Sesiapa melakukan korban tidak pada masa yang ditetapkan, maka tidak dianggap melakukan ibadat korban. Menyembelih binatang bukan pada masa ditetapkan, kemudian daging itu diagihkan kepada orang ramai, amalan itu dianggap sedekah dan hadiah.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Baragsiapa menyembelih korban sebelum sembahyang Hari Raya Haji, sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya. Barangsiapa menyembelih korban sesudah sembahyang Hari Raya Haji dan dua khutbahnya, sesungguhnya dia telah menyempurnakan ibadatnya, dan dia telah menjalankan aturan Islam.” (Hadis riwayat Muslim).

Pada hari Aidiladha dan Tasyrik adalah hari kesyukuran dan kegembiraan untuk umat Islam. Selain dianjurkan melakukan ibadat korban, pada hari-hari berkenaan digalakkan berzikir, bertakbir dan bertahmid.

Bagi memastikan kegembiraan dan semua orang dapat menikmati hidangan makanan yang disediakan, maka pada dua perayaan dan juga hari Tasyrik diharamkan berpuasa.

Keutamaan mengerjakan ibadat korban sepertimana dinyatakan Rasulullah dalam hadis bermaksud: “Tidak ada amalan anak Adam yang paling disukai Allah pada hari Aidiladha selain daripada mengalir darah (menyembelih korban) dan sesungguhnya (sembelihan) itu akan datang pada hari kiamat nanti berserta dengan tanduk, kuku dan bulunya semua sekali. Dan sesungguhnya darahnya akan berada di suatu tempat yang ditentukan Allah sebelum menitik ke bumi. Oleh itu ikhlaskanlah hatimu dengannya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi).

Antara jenis binatang yang boleh dijadikan korban ialah kambing, unta, biri-biri, lembu, dan kerbau, mengikut syarat yang ditetapkan syarak. Biri-biri hendaklah berumur lebih setahun. Bagi kambing, lembu, dan kerbau hendaklah berumur lebih daripada dua tahun. Manakala unta yang boleh dijadikan korban mesti berumur lebih lima tahun.

Binatang yang ingin dijadikan korban adalah yang tidak cacat, biarpun sedikit seperti carik daun telinga, berjalan terhinjut-hinjut, dan berpenyakit. Binatang yang terlalu kurus juga tidak boleh dijadikan korban.

Dari Bara bin Azli, telah berkata Nabi: “Empat macam binatang yang tidak sah dijadikan korban, iaitu rosak matanya, sakit, pincang dan kurus tidak berlemak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi).

No comments:

Post a Comment