Thursday, 12 January 2017

Ibadat haji wajib sekali seumur hidup

Haji dilaksanakan setiap orang Islam yang mampu sebagai Rukun Islam, hanya wajib sekali dalam hidup. Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah (Kaabah) kepada sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya. (Ali-Imran: 97)

Maksud mampu dalam menunaikan haji ialah mempunyai kenderaan yang membawa pergi dan balik atau cukup tambangnya. Cukup perbelanjaan ketika di Tanah Suci dan apabila balik kelak. Cukup perbelanjaan tanggungan di rumah sepanjang berada di Mekah dan selamat pergi dan pulang.

Selain itu, soal keselamatan juga termasuk dalam erti mampu. Keselamatan ini meliputi semasa perjalanan, ketika di Makkah dan sanak saudara yang ditinggalkan.  

Mampu juga termasuk dalam soal kesihatan. Mereka yang uzur dan mengalami penyakit berbahaya yang dikhuatiri mendatangkan bahaya tidak wajib melaksanakan haji.

Mampu juga termasuk dalam soal undang-undang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi dan Malaysia. Ini termasuk berkaitan kouta dan syarat diemani muhrim bagi jamaah wanita.

Pun begitu, sesiapa yang tidak mampu itu, tetapi merasakan tetap berusaha ingin pergi melaksanakan haji, maka tidak ada halangan baginya, selagi mana ia tidak melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama dan mendatangkan mudarat.

Berhutang dan bergadai harta benda untuk menunaikan ibadat haji ialah perbuatan yang tidak menepati kehendak Allah SWT.

Perbandingan antara haji dan umrah. Haji dan umrah ialah ibadat yang memerlukan wang, tenaga, dan pengorbanan yang besar.

Oleh sebab itu, Islam hanya mewajibkan sekali sahaja seumur hidup. Kewajipan itu juga bersyarat, iaitu mampu, merdeka, Islam, berakal dan baligh.

Firman Allah SWT lagi dalam surah al-Baqarah, ayat 196 bermaksud: Sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah…

Justeru, kita sebagai umat Islam hendaklah berazam dan merancang untuk menunaikan ibadat haji. Beruntung sesiapa dapat melaksanakan ibadat haj.

Sabda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa melaksanakan haji di rumah ini (Baitullah Al-Haram), tidak rafats (tidak mengeluarkan kata-kata yang menimbulkan berahi atau tidak senonoh) dan tidak berbuat fasik, maka dia kembali seperti pada hari dilahirkan ibunya." (Hadis riwayat Bukhari).

Namun, bagi mereka yang pernah malaksanakan, tidak perlulah mengulang-ulangnya beberapa kali. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada orang lain pula.  

Seperti kita ketahui, peraturan kouta menyebabkan tidak banyak dapat melaksankan ibadat haji. Bakal haji kena menunggu berpuluh tahun untuk namanya tersenarai sebagai jamaah. 

Pada mereka yang telah pergi menunaikan haji, bertolak ansurlah. Beri peluang kepada orang lain. Sesiapa melakukannya (memberi peluang kepada orang lain) insyaalah akan mendapat ganjaran di sisi Allah. 

Seseorang telah dianggap sempurna menunaikan Rukun Islam biarpun hanya sekali menunaikan haji. Sekiranya ada wang lebih, elok digunakan untuk tujuan lain yang turut memberi ganajaran pahala yang besar dan berkekalan. 

Contohnya mewakafkan harta membina masjid, sekolah dan lain-lain yang manfaatnya boleh digunakan berkekalan atau dalam tempoh masa lama.

Nabi Muhammad sendiri hanya melaksanakan ibadat haji sekali dalam hidupnya.

No comments:

Post a Comment