Cari rezeki ibadah, tuntutan agama. Islam
galak cari rezeki. Setiap makhluk dicipta Allah SWT telah ditetapkan
rezeki yang mencukupi baginya. Namun, rezeki itu tidak datang bergolek jika
tidak diusahakan.
Setiap orang perlu bekerja mengikut kemampuan
masing-masing yang menyumbang kepada kebaikan. Dunia yang terbentang luas
ini memerlukan tenaga manusia untuk dimakmurkan.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan
tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah kepadamu itu kebahagian
hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan)
dari dunia.” (Surah al-Qasas, ayat 77)
Justeru, sesiapa yang memilih menjadi
penganggur sebenarnya menolak rahmat Allah SWT. Perkara yang amat
merugikan apabila didapati banyak remaja Islam lebih suka berfoya-foya daripada
berusaha mencari rezeki yang sentiasa terbentang luas.
Sesungguhnya, rezeki berada di mana-mana,
hatta di dalam timbunan sampah! Banyak orang bekerja mencari bahan kitar
semula dalam timbunan sampah. Usaha itu bukan saja mendatangkan rezeki,
tetapi memberi kesejahteraan kepada orang ramai.
Sampah sarap yang dikitar semula dapat
mengelak berlaku kekotoran dan menyediakan bahan mentah untuk digunakan
semula. Banyak individu mampu menyara keluarga dengan kerja mencari sampah
yang boleh dikitar semula. Biarpun kerja itu menyebabkan badan kotor,
tetapi yang penting ialah kebersihan hati melakukan kerja-kerja itu untuk
mencari keredaan Allah SWT.
Sesungguhnya, Allah SWT tidak memandang mulia
atau hina sesuatu pekerjaan berdasarkan ‘tarafnya’ atau di tempat mana
dilakukan. Asalkan pekerjaan itu halal dan memberi kebaikan, ia dipandang
mulia oleh Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak makan seorang itu sebarang
makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya
sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya
sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
Keberkataan rezeki meliputi kebahagiaan
hidup, kesejahteraan, kedamaian, keselamatan, dijauhi daripada fitnah dan
memberi kebaikan. Walaupun apa yang diperoleh itu sedikit, rezeki yang
diberkati lebih bermakna berbanding rezeki haram yang banyak.
Rezeki yang tidak halal diperoleh secara
menipu, rasuah, perjudian dan sebagainya tidak mendatangkan kebahagiaan kepada
pemiliknya. Lagi banyak harta diperoleh secara tidak halal, lagi banyak
masalah yang timbul akibatnya. Anak-anak yang dibesarkan dengan makanan dibeli
menggunakan wang haram akan mendatangkan masalah kepada ibu bapa.
Setiap muslim perlu bersungguh-sungguh
mencari rezeki agar tidak perlu meminta-minta daripada orang lain. Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Janganlah kamu meminta-minta daripada orang lain.”
(Hadis riwayat Ibnu Hanbal).
Galakan agar setiap muslim bekerja
bersungguh-sungguh dan melarang daripada meminta-minta membuktikan pentingnya
usaha mencari rezeki. Agama Islam mementingkan kepada kecemerlangan dan
kejayaan dalam semua aspek kehidupan umatnya.
Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah
nasib mana-mana individu atau kaum, jika diri sendiri tidak mahu berusaha
mengubahnya. Kemiskinan bukan satu takdir, atau bala yang tidak boleh
diubah. Allah SWT memerintahkan agar manusia berusaha mengubah nasib
menjadi lebih baik.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan
yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Rad ayat 11).
Jangan sekali-kali mudah berputus asa jika
berdepan dengan kegagalan. Gagal sekali tidak bermakna gagal
selama-lamanya. Ketekunan dan kerja kuat yang dilakukan tanpa jemu
membuahkan hasil yang lebih besar.
Umat Islam perlu merebut segala peluang yang
disediakan oleh Allah SWT. Maruah umat Islam lebih dipandang mulia dan
tinggi jika mempunyai kekayaan setanding dengan umat lain. Tanggapan mengatakan
Islam agama kemiskinan dan kemunduran perlu diubah.
Umat Islam mesti kembali bangkit meneroka
alam luas. Penguasaan ilmu, ekonomi dan cara hidup yang luhur wajib diusahakan
untuk memulihkan kembali maruah Islam yang semakin tercalar sekarang ini.
No comments:
Post a Comment