Friday, 27 July 2018

Hadis di laman web

Umat Islam sentiasa mencari hadis sebagai panduan. Dahulu, untuk mencari hadis perlu dilakukan secara membaca di kitab hadis. Namun, sekarang carian hadis boleh dilakukan melalui capaian internet. Kelebihan memperoleh hadis melalui internet ialah:

Mudah. Cara ini memang diakui amat mudah dilakukan. Dengan hanya menaipkan beberapa perkataan yang berkaitan di ruang 'carian', pencari akan dibentangkan atau diberikan keputusan 'carian' yang 'mungkin' dicari oleh pencari.

Contohnya, jika kita ingin mencari hadis berkaitan tuntutan mencari rezeki, kita hanya perlu taip di ruangan carian google perkataan "hadis tuntutan mencari rezeki" dan ditekan enter atau search. Carian memberi 'keputusan' 254,000 laman web yang mempunyai perkataan itu. 

Contohnya, antara laman web tersebut ialah http: //hikmatun. wordpress. com. Dalam laman web itu menyenaraikan banyak hadis yang berkaitan mencari rezeki. Pencari boleh memilih mana-mana hadis yang berkenaan. Ia mengambil masa yang singkat dan tidak memerlukan banyak tenaga. Itulah dinamakan maklumat di hujung jari.

Murah. Ini satu perkara yang tidak dinafikan. Pencari hadis tidak perlu membeli kitab atau buku hadis yang harganya mencapai puluhan ringgit untuk satu buku. Dengan kemudahan capaian internet, carian itu tidak memerlukan kos. Biarpun kena tanggung kos internet, ia tidak hanya untuk tujuan carian hadis semata-mata. Kos itu bayaan tetap bulanan. Jadi, boleh dikatakan tidak ada kos untuk carian maklumat di internet.  

Bahkan, banyak kawasan yang kini boleh melayari internet secara percuma yang disedikan oleh pihak tertentu. Contohnya jika kita berada di tempat yang ada disediakan kemudahan jalur lebar disediakan oleh Kementerian Penerangan, Kesenaian dan Pelancongan. Di tempat-tempat ini turut disediakan kemudahan komputer secara percuma. Kawasan sekitar restoran, kopitiam, hotel dan sebagainya juga menyediakan kemudahan internet secara percuma.
           
Malah pelayar boleh muat turun secara percuma kitab-kitab masyhur termasuklah Sahih Muslim dan Sahih Bukhari di www.3d2f.com. Ini tentunya lebih murah berbanding membeli kitab.

Boleh dilakukan bila-bila masa. Jika kita mencari kitab di perpustakaan, masa operasi atau dibuka mengikut masa tertentu. Masa operasi perpustakaan mengikut waktu pejabat. Pastinya, pada hari cuti perpustakaan tidak dibuka.  

Sebaliknya, jika carian dilakukan secara talian, tidak ada masa ditetapkan. Kita boleh melakukannya bila-bila masa, sepanjang hari dan setiap hari. Gerbang maya sentiasa terbuka sepanjang masa. 

Ruang masa yang tidak terhad memudahkan pencarian dilakukan. Ini terutamanya bagi mereka yang sibuk atau memerlukan carian secara segera pada masa pastinya perpustakaan telah ditutup.  

Contohnya, ketika menyiapkan tugasan, pelajar biasanya melakukan pada masa malam. Ini tentu menyukarkan untuk membuat rujukan atau carian. Namun, perkara ini dapat diatasi jika menggunakan carian melalui internet. 

Boleh dilakukan di mana-mana. Kemudahan jalur lebar kini semakin meluas di seluruh dunia. Jadi, tidak sukar untuk melayari internet di man-mana saja. Perkara ini banyak memberi kebaikan, terutama bagi mereka yang menghadapi kesukaran untuk mendapat kitab. 

Contohnya, kalaupun kita tinggal di tempat atau negara bukan Islam, tentu sukar untuk mendapatkan kitab hadis. Sebaliknya, masalah itu dapat diatasi jika usaha mendapatkan hadis menggunakan carian internet. Sebab itu, banyak pihak kini menyumbangkan jasa dengan melakukan muat turun berkaitan agama Islam bagi memudahkan umat Islam di seluruh dunia dan orang yang berminat mendapat capaian maklumat itu.   

Sumber pelbagai bahasa. Carian internet dapat dilakukan dengan mudah biarpun sumber asal dalam bahasa yang kita tidak fahami. Ini kerana dalam internet terdapat aplikasi yang membolehkan terjemahan terus ke dalam mana-mana bahasa dari bahasa asal. 

Contohnya, jika kita tidak memahami entri dalam bahasa Inggeris, kita hanya perlu klik atau melakukan beberapa langkah mudah untuk menterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia atau bahasa-bahasa lain. Perkara ini tentu sukar dilakukan jika membuat carian melalui kitab yang ditulis dalam bahasa yang kita tidak fahami.  

No comments:

Post a Comment