Friday, 27 July 2018

Cari hadis di laman sesawang

Salah satu cari mencari hadis ialah di laman sesawang (web). Terdapat kelemahan mencari hadis di laman web.

Masukan atau entri yang tidak bertanggungjawab. Gerbang intenet boleh dimasuki atau ditembusi oleh sesiapa saja. Ini termasuk juga dalam memasukkan sesuatu kandungan. Undang-undang berkaitan kandungan yang dimasukkan ke dalam sesebuah laman web tidak dikawal. Ini terutamanya yang dilakukan oleh pelayar internet di luar negara. 

Kelonggaran ini membolehkan sesiapa saja membuat entri tanpa ada tapisan. Akibatnya wujud hadis-hadis yang tidak tepat. Ia ditulis mengikut kefahaman atau ilmu yang tidak sempurna. 

Kesilapan itu mungkin disedari oleh mereka yang arif mengenai hadis. Masalahnya, apabila ia dibaca oleh mereka yang jahil hadis atau mengharapkan dan mempercayai sepenuhnya apa yang dibaca itu.

Contoh hadis yang sering disebut ialah "Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China". Bagi mereka yang tidak faham akan mengatakan hadis itu sahih. Ini kerana banyak penulis rencana dan pakar motivasi menjadikan hadis itu sebagai galakan untuk menuntut ilmu. Sedangkan hakikat sebenarnya hadis itu adalah daif dan ada pendapat mengatakan palsu.

Sukar buat rujukan. Kemahiran dalam bidang internet tidak dimiliki semua orang. Ini berlainan dengan cara membaca di dalam buku atau kitab. Keadaan ini jelas menghadkan peluang mereka yang tidak pandai atau tidak mahir untuk mengekses internet.  

Contohnya golongan tua di negara kita kebanyakan tidak ada pengetahuan mengenai komputer dan internet. Keadaan ini membataskan mereka untuk memperoleh hadis, sedangkan bilangan hadis tertulis di kitab dan buku-buku agama semakin kurang disebabkan tulisan atau makalah lebih banyak disediakan dalam medium maya.

Tidak ada pakar mengawal entri. Tidak ada editor atau penyunting ditetapkan dalam urusan entri dalam setiap laman web. Kebanyakan laman web dikendalikan secara individu yang tidak ada pihak lain menyelia ketepatan setiap entri. Sesiapa saja boleh mengaku dirinya mahir dalam hadith dan agama. 
           
Kesannya akan berlaku kesilapan entri yang dilakukan tidak sengaja oleh mereka yang kurang arif dalam hadis dan hukum agama. Mereka menyebarkan hadis daif dan hadis mawdhu, yang didakwa hadis sahih. Inilah realiti berlaku dalam rencana atau himpunan hadis yang terdapat di laman web.

Tidak ada pakar yang mengawal juga membuka peluang mereka berniat buruk terhadap Islam. Mereka sengaja memasukan hadis-hadis yang tidak tepat maksudnya. Biarpun, dikatakan itu hadis sahih, sedangkan sebenarnya ia tidak sama seperti hadis sahih yang ada dalam kitab hadis. 
 
Malah, dengan mudah juga wujud hadis-hadis palsu. Hadis palsu itu bukan saja hadis palsu yang telah dikenalpasti oleh pakar hadis sebelum ini, tetapi mungkin juga hadis palsu yang baru dicipta.

Memandangkan keadaan ini semakin berleluasa perjelasan khusus perlu dibuat oleh pihak berkuasa. Contohnya wujudnya entri khusus menjelaskan perkara ini iaitu http://muis.ismaweb.net/2010/05/beberapa-hadis-palsu-yang-tersebar-dalam-masyarakat/
           
Perkara ini sukar belaku jika ia melibatkan medium cetak. Penerbitan kitab dan buku agama dikawal oleh pihak kerajaan. Semakan dan pemantauan lebih mudah dilakukan untuk mengelak tersebar sesuatu yang salah.

Perubahan entri yang kerap. Pelayar sukar mencari sesuatu hadis di sesuatu laman web kerana kandungannya sentiasa berubah-ubah. Kalau ia senang masuk, maka senang jugalah untuk dikeluarkan. Ada laman web yang hanya wujud untuk tempoh tertentu sahaja. Jadi, ini menyukarkan mereka yang sudah biasa dengan laman web itu untuk kembali melawatnya dan mendapat sesuatu maklumat.

Berdasarkan fakta yang dikemukakan sebelum ini, jelas sekali terdapat berbezaan ketara kaedah memperoleh hadis melalui perisian dan internet dengan melalui kitab hadis. Perbezaan ini memberi kesan besar, terutama dalam memberi nilai tambah untuk memudahkan proses pencarian hadith dan juga perkara-perkara lain yang memberi kebaikan kepada perkembangan agama Islam. 

Orang Islam perlu memanfaatkan teknologi terkini. Biarpun teknologi ini dibangungkan oleh orang bukan Islam, ia tidak sepatutnya menjadi penghalang orang Islam menggunakannya. 
 
Setiap perkara baik perlu diterima dan diamalkan dalam kehidupan orang Islam, lebih-lebih lagi perkara berkaitan membangungkan orang Islam melalui perkembangan ilmu dn dakwah.  

Namun, setiap perkara tentu ada baik dan buruknya. Begitu juga dalam soal usaha memperoleh carian hadis melalui internet dan perisian. 
 
Kita perlu memanfaatkan perkara yang mendatang kebaikan, malah kita perlu mencari usaha untuk tambah nilai apa-apa yang tersedia ada. Islam sentiasa menyuruh agar umatnya sentiasa bergerak ke arah kebaikan supaya tidak tertinggal berbanding penganut agama lain.
           
Dan, jika disedari apa-apa keburuk yang wujud, maka bersama-samalah berusaha untuk mengelak keburukan itu. Kewujudan keburukan adalah peluang untuk kita mencapai sesuatu yang lebih baik. 
 
Jika ada keburukan, bukan bermakna kita meninggalkan keseluruhannya hingga tidak mengambil peluang menggunakan kebaikan yang wajud secara bersama.

Kelebihan memperoleh hadith melalui internet ialah: mudah, murah, boleh dilakukan di mana-mana, boleh di lakukan bila-bila masa dan sumber pelbagai bahasa perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Manakala kelemahan berkaitan masukan atau entri yang tidak bertanggungjawab, sukar buat rujukan, tidak ada pihak berkuasa mengawal entri, tidak diuruskan oleh pakar hadis dan perubahan entri yang kerap perlu dilakukan usaha-usaha mengubahnya agar kelemahan dan keburukan itu berterusan.

1 comment: