Manakala, mana-mana adat yang bercanggah dengan syariat
ditolak seperti adat mempercayai tenung nasib yang ditegah syarak. Firman
Allah SWT surah al-Maidah ayat 90 bermaksud: “Wahai orang
beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib
adalah najis (haram), dan ia dari perbuatan syaitan.”
.
Manakala ada adat dipinda atau perbaiki agar selari
dengan matlamatnya. Contohnya, kebiasannya pengantin perempuan mendedahkan
aurat ketika bersanding. Namun, kini atas kesedaran agama, kebanyakan
pengantin wanita bersanding dalam keadaan menutup aurat.
Mana-mana adat yang sahih wajib diberi perhatian dalam
perundangan dan kehakiman dalam proses menentukan hukum. Hakim juga perlu
mengambil kira adat dalam menentukan keputusan penghakiman. Ini kerana
sesuatu adat telah menjadi sebahagian keperluan dan kepentingan masyarakat.
Adat berdoa diketuai imam diamalkan masyarakat Melayu ada
keperluannya. Biasanya jika doa tidak diketuai imam, maka tidaklah banyak orang
melakukannya. Jadi, untuk membiasakan amalan berdoa, maka adatnya ia
diketuai oleh seeorang.
Manakala adat batal mesti ditolak. Contohnya adat mandi
tolak bala pada bulan Safar. Amalan itu tidak termasuk bab darurat atau
maslahat untuk terus mengharuskannya. Masyarakat tidak pincang jika adat
itu tidak diteruskan. Ataupun adat menangguhkan pengembumian jenzah kerana
perlu diadakan bedah siasat dikira sebahagian daripada darurat yang
mengharuskan perkara dilarang.
Tidak dapat dinafikan adat merupakan tempat rujukan bagi
perlaksanaan hukum. Pun perlu ditegaskan, perbezaan perlaksaan hukum kerana
mengikut perbezaan adat bukanlah perbezaan dalam hukum, tetapi hanya dalam
perlaksanaan. Hukum tetap satu daripada Allah SWT.
Hukum syariat diperundangkan untuk kepentingan manusia
seluruhnya. Ini berdasarkan kepada beberapa keadaan.
Syariat Islam telah membiarkan banyak perkara yang tidak
ditetapkan mengenainya, bahkan memberi peluang adat menentukannya. Firman Allah SWT bermaksud:
"Dan hendaklah kamu mempersiapkan dua orang yang adil dari kalangan
kamu." (Surah at-Talak, ayat 2).
Apa yang dimaksudkan adil dalam ayat itu? Ini
bermakna memberi peluang untuk para fuqaha memperincikan adil itu berdasarkan
kepada keperluan adat yang diterima. Setiap masyarakat mempunyai takrif adil
yang berbeza. Antara yang menentukan sifat adil ialah orang menjaga
maruah. Sedangkan, istilah menjaga maruah berbeza antara golongan dan
kawasan.
Contohnya, golongan raja menjaga maruah dengan menggunakan
bahasa istana Jika mereka menggunakan bahasa orang kebanyakan, maka
sudah dianggap menjatuhkan maruah, sedangkan perbuatan itu tidak pula bagi
golongan biasa. Maka hukum syariat di sini berbeza dengan sebab perbezaan
tersebut.
Perubahan hukum disebabkan perubahan masa. Tidak dinafikan adat dan
keperluan manusia berubah mengikut masa. Sesungguhnya hukum-hukum
dikeluarkan ulama terdahulu berasaskan kepada adat ketika itu. Contohnya, ulama
silam menghukumkan merokok sebagai makruh kerana tidak ada bukti ia
membahayakan kesihatan. Tetapi ulama terkini menghukum perbuatan itu
sebagai haram kerana bukti perubatan jelas menunjukkan perbuatan itu
membahayakan kesihatan. Setiap yang memdatangkan mudarat adalah
haram. Ini menunjukkan perubahan itu berdasarkan kepada perubahan masa.
Perbezaan hukum berdasarkan perbezaan tempat. Sesungguhnya, cara hidup
manusia berbeza mengikut tempat tinggal. Mereka memerlukan hukum tertentu
untuk digunapakai di tempat berkenaan. Contohnya, orang di kawasan kutub
menghadapi kesukaran menentukan waktu sembahyang, yang mana waktu siangnya
berbulan-bulan dan begitu juga waktu malam.
Maka ulama perlu mencari kaedah yang boleh diterima
pakai, berbanding biasa berdasarkan kedudukan matahari di tempat
berkenaan. Antara yang diputuskan ulama untuk dijadikan asas hukum bagi
penduduk di kawasan berkenaan menentukan waktu sembahyang ialah menggunakan
waktu negara terdekat dengan mereka.
Hukum berdasarkan keadaan semasa. Banyak perkara yang dilakukan
dalam kehidupan ini bersifat harus atau menerima sebagai apa yang difahami umum
dan tidak ada fatwa khusus mengenainya. Perkara ini berlaku kerana tidak
ada keperluan untuknya. Contohnya, berkaitan fatwa mati
syahid. Umum diketahui sesiapa mati di medan perang mempertahankan
negara dianggap mati syahid. Tetapi, Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini
perlu mengeluarkan fatwa bahawa perwira yang mati di isu Lahad Datu adalah
syahid akhirat. Perkara ini perlu dilakukan kerana ada pihak mempertikaikan
kedudukan itu. Dengan kata lain, fatwa itu dikeluarkan atas keperluan
semasa dan menjelaskan suasana semasa atas perkara yang berlaku.
No comments:
Post a Comment