Thursday, 30 August 2018

BERSUKAN BUKAN SEKADAR CARI JUARA


Terlibat dalam sukan bukan sekadar berusaha menjadi juara. Sebaliknya falsafah sukan turut merangkumi pelbagai perkara yang tersurat dan tersirat. Jika hanya ingin menjadi juara, sudah pasti tidak banyak orang terlibat dalam sukan kerana bilangan mereka yang bergelar juara hanya satu saja, sedangkan yang gagal begitu banyak.

Aktiviti bersukan penting untuk melahirkan warganegara yang mempunyai semangat patriotik, jatidiri, semangat juang, selain aspek kesihatan dan kecegasan.

Mereka yang aktif bersukan mempunyai jiwa yang positif dari segi semangat, personaliti, karektor, komunikasi, minda dan setiakawan yang tinggi.  

Jaguh sukan bukan sekadar juara apabila menang dalam pertandingan, tetapi mereka yang dapat menterjemahkan nilai-nilai murni sepanjang penglibatan dalam apa-apa jenis sukan yang disertai.  

Mereka yang aktif bersukan dianggap 'pas laku' yang berkeupayaan berada di tengah-tengah masyarakat atau komuniti untuk melaksanakan pelbagai tugas lain.  

Di sebalik keaktifan ahli sukan, sebenarnya masih banyak pihak yang terlibat seperti pengurusan persatuan, jurulatih, pembantu, penaja dan sudah tentu ialah kerajaan.

Sebab itu, apabila pemain atau pasukan dari sekolah berjaya dalam mana-mana pertandingan, kegembiraan dikecapi seluruh pelajar, guru dan ibu bapa.    

Pihak pengurusan sekolah, terutama guru besar perlu memainkan peranan untuk menggalakkan pelajar terlibat dalam aktiviti sukan. 

Biarpun kita mementingkan pencapaian pelajar dalam akademik, tetapai tidak wajar kecemerlangan dalam aktiviti sukan diabaikan kerana kita ingin melahirkan generasi yang cemerlang dalam segenap bidang kehidupan.  

Pelajar yang aktif bersukan boleh menjadikan kelayakan itu untuk dijadikan satu kerjaya sama menjadi pemain profesional, jurulatih atau pengurusan sukan. Banyak institusi pengajian tinggi di negara kita kini menawarkan kursus sains sukan diperingkat ijazah dan lebih tinggi. 

Ini membuktikan bahawa sukan amat diperlukan dalam kehidupan manusia dan sesiapa yang aktif bersukan dan mempunyai kelulusan akademik mampu menjadikan satu kerjaya yang berprestaj.  

Dalam pertandingan peringkat antarabangsa, pemain yang terlibat menggalas 'maruah' negara.  Jadi, mereka perlu berjuang atas nama negara. Di sinilah perlu wujud semangat patriotik, jatidiri, amanah dan segala sikap positif lain bagi menjamin harapan seluruh rakyat tidak kecewa.

No comments:

Post a Comment