Banyak sebab dan kebaikan yang perlu
direbut melalui ucapan salam yang disepatutnya kita menjadikan ia amalan
seharian.
- Memberi salam dan menjawab salam adalah doa. Ungkapan salam yang
paling ringkas ialah ‘assalamualikum’ yang bermaksud ‘doa sejahtera ke atas
kamu’. Dengan mengucapkan doa untuk kebaikan orang lain, sebenarnya turut
memberi kebaikan kepada diri sendiri. Tambahan pula, orang yang ditujukan salam
ini wajib menjawabnya yang juga adalah satu doa.
Sebenarnya, menjawab soalan juga
dikategorikan satu doa. Jawapan salam seringkas-ringkasnya ‘walaikummussalam’
yang bermaksud ‘dan doa sejahtera juga ke atas kamu’. Ini bermakna, lebih
banyak diucapkan salam, maka lebih banyak doa dibalas.
- Tanda keikhlasan hati. Doa yang diucapkan adalah tanda keikhlasan
hati dalam mengharapkan kesejahteraan kepada orang lain. Secara tidak langsung
akan terpancar akhlak mulia dan terpuji yang menimbulkan ketenangan dan
kebahagiaan pada diri, keluarga dan masyarakat.
- Ganti kepada yang terbaik. Siapa mengucapkan helo tidak mendapat
apa-apa faedah. Perkataan selamat pagi pula diterjemahkan daripada perkataan
good morning. Mengapakah kita mengucapkan selamat kepada pagi sedangkan
sepatutnya selamat didoakan kepada orang ditemui. Sesiapa yang mengucapkan
salam bermakna menggantikan perkataan ‘biasa’ kepada perkataan yang terbaik.
- Mudah diucapkan. Amalan itu mudah dilakukan kerana tidak memerlukan
syarat khusus dan masa yang tertentu, tetapi amalan itu mempunyai besar
kelebihannya jika diamalkan. Semua umat Islam dapat mengucapkan perkataan salam
dengan baik dan memahami ungkapan itu. Sebab itu, individu yang faham peri
pentinnya mengucapkan salam tidak akan mempersia-siakan kebaikan di sebalik
amalan itu.
- Tanda beragama Islam. Semasa berada di tempat yang menggunakan
bahasa asing dan tidak difahami, antara perkataan yang difahami ialah ucapan
salam. Ini kerana ungkapan salam sama bagi seluruh umat Islam biarpun berlainan
bahasa percakapan harian. Justeru apabila ungkapan salam diucapkan, orang lain
dapat mengetahui dia beragama Islam serta mudahlah terbentuk ikatan
persaudaraan sesama Islam biarpun berada di mana-mana sekalipun.
- Tanda dihormati. Dapat dirasakan percakapan yang dimulai dengan
salam lebih mesra dan dilakukan mengikut adab-adab orang Muslim. Orang yang
ditujukan ucapan salam merasakan dirinya dihormati haknya sebagai seorang
Muslim. Manakala, orang yang memberi salam pula merasakan kehadirannya diterima
apabila salamnya dijawab.
Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Demi diriku di atas tangan-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu
beriman dan tidak beriman kamu sehinggalah kamu berkasih sayang. Mahukah aku
tunjukkan kepada kamu satu pekerjaan yang akan menambah kasih sayang sesama
kamu. Iaitu hendaklah kamu sebarkan salam di antara kamu.” (Hadis riwayat
Muslim)
- Bolah diucapkan kepada sesiapa pun. Kita dituntut agar mengucapkan
salam ditujukan kepada sesiapa saja, termasuk ahli keluarga sendiri dan orang
yang tidak dikenali. Malah salam berperanan sebagai permulaan kepada perkenalan
atau perhubungan di antara individu atau kumpulan. Ucapan salam dijadikan
pembuka kata menandakan kadatangannya dengan tujuan yang baik.
- Mudah mesra. Interaksi dimulai dengan salam mudah mesra dan
diberkati yang mana sebarang perasaan syak wasangka dan sombong dapat
dijauhkan. Ucapan salam menundukkan perasaan buruk, dan digantikan dengan sifat
baik. Kebahagiaan hidup seseorang banyak
berpunca daripada hati yang ikhlas melakukan amalan baik.
- Bukan sekadar adat. Secara dasarnya salam hanya memerlukan ucapan
perkataan assalamualaikum, tetapi satu lagi perbuatan yang digalakan diamalkan
semasa memberi dan menjawab salam ialah berjabat tangan. Sebenarnya dalam
masyarakat Islam di Malaysia, mengucap salam dan berjabat tangan itu dianggap
nilai pekerti yang sudah sebati apabila mengunjungi atau menanti kunjungan. Sebab
itu dalam masyarakat Melayu berjabat tangan lebih kerap disebut bersalam.
Dengan kata lain, apa yang diamalkan
dalam masyarakat kita sebenarnya bukan sekadar adat, tetapi ialah satu ibadat. Tetapi,
jika ia dilakukan sebagai adat, maka ia sekadar menyempurnakan adat.
Sebab itu dalam apa perkara
sekalipun, kefahaman mengenai apa yang dilakukan amat penting bagi membezakan
antara satu amalan diberi ganjaran pahala atau hanya satu kebaikan yang
diperoleh di dunia semata-mata. Sesungguhnya setiap amalan itu dinilai pada niatnya.
Oleh itu haruslah kita melakukan sesuatu dengan satu niat kerana tuntutan agama
atau kerana Allah.
- Lembutkan hati. Perkataan salam adalah sebaik-baik perkataan untuk
menghubungkan sesama Muslim. Sebab itu, perbanyakkan amalan mengucapkan salam
agar hati sentiasa digilap bagi mengelak daripada terus dikotori amalan dosa.
Salam yang diucapkan akan mendekatkan hati dengan suasana kehidupan sebagai
seorang Muslim dan dapat melunakkan hati agar suka melakukan kebaikan.
Hati yang kotor sukar untuk
mengucapkan perkataan yang baik. Itu bertentangan dengan kebiasaan yang mereka
lakukan. Sesiapa yang sukar atau berat mulut mengucapkan salam membuktikan
hatinya berada dalam keadaan kotor. Kekotoran hati jika tidak dibersihkan akan
menyebabkan diri seseorang berada dalam keadaan jiwa yang tertekan.
- Memberitahu kehadiran. Ketika bertandang ke rumah orang lain,
mulakan dengan memberi salam untuk memberi tahu tuan rumah mengenai kedatangan
kita. Kebiasannya, selepas menjawab salam, baru tuan rumah akan mempersilakan
masuk. Mungkin, juga dalam keadaan tertentu tuan rumah tidak menjemput masuk,
jadi janganlah masuk ke rumah tanpa kebenaran.
Salam itu juga boleh dijadikan
isyarat kepada penghuni rumah itu agar bersedia menerima tetamu dari segi pakaian
dan tatasusila. Dalam rumah itu mungkin terdapat isteri dan anak gadis yang
berpakaian tidak menutup aurat. Jadi, setelah mendengar salam dari orang lelaki
yang bukan mahramnya, dapatlah dia mencari pakaian yang sesuai atau duduk di
dalam bilik untuk mengelak dipandang lelaki bukan mahram yang datang bertandang
itu.
No comments:
Post a Comment