Usaha membanteras perjudian
menghadapi jalan sukar selagi ada manusia ingin mendapat kekayaan dengan cara
mudah. Mereka menggunakan pelbagai medium untuk dijadikan penentu kepada
sesuatu menang kalah dalam sesuatu pertaruhan yang dibuat.
Perlawanan bola sepak tidak
terkecuali dijadikan medan perjudian. Bookie atau pihak yang mengatur keputusan
pertandingan telah menggunakan pemain untuk memastikan keputusan pertandingan
adalah seperti yang telah ditetapkan. Tindakan itu mencemar imej bola sepak
sebagai sukan paling diminati.
Keputusan pertandingan bola sepak
hanya sebahagian kaedah pertaruhan yang digunakan oleh kaki judi. Hakikatnya, semua
perbuatan yang ada unsur pertaruhan untuk mendapat keuntungan besar yang
bergantung kepada untung nasib adalah judi.
Perjudian diharamkan kerana ia lebih
banyak mendatangkan keburukan kepada manusia. Perkara ini telah ditegaskan oleh
Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai
Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa besar
(mudarat) dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya
adalah lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219).
Judi tidak memberi keuntungan kepada
pemainnya. Pihak yang mendapat untung adalah pengusaha atau taukeh judi. Mereka
dapat mengawal untung rugi berdasarkan apa yang mereka inginkan. Peluang untuk
pemain judi mendapat keuntungan amat tipis
Tidak dinafikan ada orang menjadi
kaya hasil berjudi, tetapi bilangannya amat kecil berbanding yang menjadi
sengsara akibat ketagih judi. Disebabkan ada yang mendapat kekayaan dengan
berjudi inilah mendorong orang lain ikut sama berjudi. Hakikatnya mereka lupa
untuk mengambil pengajaran daripada mereka yang papa dan sengsara disebabkan
judi.
Mereka yang terjerat dengan aktiviti
perjudian sukar untuk melepaskan diri. Syaitan mudah mempengaruhi orang berjudi
untuk melakukan perkara buruk kerana judi itu sendiri perbuatan syaitan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang beriman, sesungguhnya arak, judi dan bertenung nasib adalah
najis (haram), dan ia adalah perbuatan syaitan.” (Surah al-Maidah, ayat 90).
Orang ketagih judi sanggup melakukan
apa sahaja asalkan hajatnya hendak berjudi tercapai. Wang dan kekayaan yang
dimiliki digunakan semahunya untuk berjudi sehingga banyak yang jatuh bankrap. Keadaan
ini jugalah yang menyebabkan aktiviti peminjaman wang tidak berlesen
berleluasa. Sebahagian besar yang menjadi mangsa ah long ialah kaki judi.
Perjudian merupakan salah satu cara
syaitan merosakkan manusia. Mereka yang berjudi akan melakukan banyak keburukan
bukan sahaja terhadap diri sendiri, tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan
negara.
Justeru, tidak pelik jika pemain
judi sanggup hidup dalam serba kekurangan. Wang yang ada dihabiskan untuk
berjudi. Mereka sanggup menggadaikan apa sahaja, termasuk maruah anak dan
isteri demi untuk mendapatkan duit modal berjudi.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Syaitan itu menjanjikan dengan kemiskinan dan kepapaan dan dia menyuruh kamu
menjalankan perbuatan keji.” (Surah al-Baqarah, ayat 268).
Aktiviti perjudian bukan sahaja
merugikan dalam bentuk kewangan, tetapi juga melahirkan masyarakat yang malas
dan kuat berangan-angan. Produktiviti menurun disebabkan masa lebih banyak
dihabiskan di meja judi.
Sebab itu pakar psikologi dan
pemimpin masyarakat bukan Islam turut mengatakan perjudian mendatangkan
keburukan kepada pengamalnya. Justeru, seluruh ahli masyarakat tanpa mengira
agama dan bangsa perlu menjauhi judi dalam bentuk apa sekalipun.
Kaki judi mengalami kehidupan yang tidak
tenteram, terutama apabila mengalami kekalahan teruk. Akibat keadaan itu,
banyak berlaku pergaduhan di kalangan kaji judi hingga berlaku pembunuhan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah
ayat 91 bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu
menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi,
dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang.
Oleh itu mahukah kamu berhenti (daripada melakukannya).”
Orang yang memakan hasil haram akan
menyebabkan hatinya sentiasa kegelapan. Hidayah daripada Allah SWT tidak dapat
memasuki hati yang digelapkan oleh zat makanan haram. Ibadat dan doanya juga
tidak diterima Allah SWT. Kehidupan menjadi semakin jauh daripada rahmat Allah SWT
dan semakin sesat.
Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak baik (subur) daging yang tumbuh dari
usaha haram, melainkan neraka lebih patut baginya" (Hadis riwayat Tirmizi)
No comments:
Post a Comment