Sunday, 23 September 2018

HENTIAN ECO LOJING


Pengunjung dari Gua Musang menuju ke Cameron Highland mahupun menuju ke Simpang Pulai di Perak, sebelum memasuki kawasan 'pembangunan' Loging, akan menemui hentian ECO R&R.

Hentian rehat dan rawat ECO R&R dibina oleh Majlis Daerah Gua Musang terletak berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Pos Brooke Lojing, Kelantan. Hentian rehat dan rawat itu menjadi mercu tanda baru di Lojing.  

Kewujudan ECO R&R ini merancakkan lagi pembangunan di tanah tinggi Lojing seterusnya menjadikan Jajahan Kecil Lojing salah satu daya tarikan pelancongan di Gua Musang. Diharapkan dengan pembinaan itu akan menarik minat pihak lain membangunkan kemudahan lain di kawasan berhampiran.

Pembangunan fizikal dan kemudahan awam di Lojing agak perlahan. Yang nampak ketara hanyalah projek pembukaan tanah untuk tujuan pertanian yang rakus menarah dan membotakkan bukit. Aktiviti pembukaan tanah pertanian yang tidak terkawal mencetuskan fenomina pencemaran sungai apabila selut dan lumpur mengalir memasuki sungai berhampiran.  

Aliran sungai di Lojing mengalir melalui kawasan tengah negeri Kelantan memasuki laluan terus menuju ke Sungai Kelantan yang mengalir sehingga ke Kota Bharu sebelum memasuki Laut China Selatan. Banjir lumpur atau banjir kuning 2014 antara lain adalah lumpur yang berpunca dari pembangunan tanah tinggi Lojing.

Operasi ECO R&R Lojing telah bermula pada bulan Jun 2016 dengan menempatkan Pejabat Majlis Daerah Gua Musang Cawangan Lojing dan beberapa unit motel untuk disewa oleh pelancong dan pelawat.

Pengguna jalan raya melalui ECO R&R biasanya akan singgah seketika di situ untuk berehat dan sebelum meneruskan perjalanan. Kemudahan tempat letak kenderaan yang luas, termasuk bas, memudahkan pengunjung untuk berhenti seketika menghirup udara segar dan dingin.

No comments:

Post a Comment