Monday, 24 September 2018

Kolam Air Panas Poring Ranau

 
Negeri Sabah terkenal destinasi pelancongan. Selain keindahan pulau dan laut, Sabah juga kaya dengan keindahan hutan dan kawasan tanah tinggi.  
 
Ranau antara daerah atau kawasan sangat terkenal dengan bentuk muka buminya yang berbukit-bukau. Dan juga dikenali sebagai pengeluar sayur-sayuran tanah tinggi yang terbesar di sekitar Sabah. 

Salah satu daya tarikan di daerah Ranau ialah Kolam Air Panas Poring. Kolam Air Panas Poring terletak kira-kira 13 kilometer dari pekan Ranau. Tempat tersebut pertama kali telah dibangunkan sebagai tempat istirehat oleh tentera Jepun ketika menakluk Sabah pada zaman Perang Dunia Kedua.

Memandangkan ia berpotensi menarik ramai pengunjung ke Ranau khasnya dan Sabah amnya, kerajaan Sabah telah mengambil insentif membangunkannya dengan lebih sistematik pada awal tahun 60 an dan telah dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada tahun 1966. 

Telaga air panas yang terdapat di situ merupakan mata air semulajadi yang terbentuk oleh aktiviti gunung berapi yang kurang aktif jauh di dalam perut bumi. 

Wap panas dari perut bumi kehilangan sebahagian habanya ketika bergerak naik kepermukaan bumi melalui rekahan gunung berapi. Wap itu mengembang apabila sampai berhampiran permukaan bumi dan kemudian bertukar menjadi cecair dan seterusnya membentuk mata air. 

Tapak kawasan Kolam Air Panas terletak di tanah rendah dan anda boleh memilih untuk berendam di kolam-kolam air panas terbuka atau tertutup. 
 
Air panas yang mengandungi sulfur ini dikatakan mempunyai khasiat kesihatan dan mampu menyegarkan badan dan sendi-sendi yang lenguh. Apatah lagi bagi para pendaki yang baru turun dari puncak Kinabalu.

Air panas di Poring bersuhu di antara 49 hingga 60 darjah Calsius. Ia kaya dengan kandungan sulfur yang dipercayai sesuai untuk mengubati pelbagai jenis penyakit kulit. 

Kehangatan air mineral di sini sudah tentu melenyapkan segala penat lelah. Kolam air panas ini sangat sesuai untuk aktiviti santai bersama keluarga. Pelbagai kemudahan yang disediakan untuk keselesaan para pengunjung. Tak kira dewasa mahupun kanak-kanak.

Untuk kemudahan pengunjung ke Kolam Air Panas Poring mandi air panas dengan selesa, tempat mandi khas disediakan. Air di dalam kolam tersebut boleh diimbangi suhunya mengikut kesesuaian dengan mencampur air sejuk dari gunung.

Terdapat kolam-kolam kecil yang menyediakan air panas. Jika anda mahu privasi, terdapat tempat mandi tertutup tetapi dikenakan bayaran yang lain.
 
Selain kolam mandi air panas, terdapat juga kolam air sejuk untuk kanak-kanak mandi manda. Airnya yang disalurkan terus dari gunung berasa sejuk, bersih dan jernih.

Di Poring, anda boleh juga bersiar-siar di taman kupu-kupu atau melakukan aktiviti yang lebih mencabar iaitu berjalan di puncak pepohon hutan dipterokap di atas Jambatan Kanopi yang bergantung pada ketinggian 41 meter dan sejauh 157.8 meter.

Pemandangan ke bawah dari puncak pohon Menggaris atau Raja Kayu sukar digambarkan. Para pelawat harus mengalaminya sendiri bagi merasai debaran dan kepuasan yang dikecapi berada di celah pucuk pepohon tertinggi.

Kalau anda bercadang untuk bermalam di sini, anda bolehlah ke Poring Hot Springs & Nature Reserve Resort. Ada beberapa chalet yang disediakan. Antara penginapan yang agak murah di sini ialah Serindit Hostel dan Kelicap Hostel.

Berkunjung ke Kolam Air Panas Poring khasnya dan pekan Ranau amnya, pastinya meninggalkan kenangan yang menarik.    




No comments:

Post a Comment