Monday, 24 September 2018

HUTAN LIPUR LATA TEMBAKAH AIR TERJUN TUJUH TINGKAT

Antara hutan lipur terkenal di Terengganu ialah Hutan Lipur Lata Tembakah yang terletak di hutan simpan Pelagat, Besut. Jaraknya kira-kira 130 kilometer dari Kuala Terengganu dan 24 kilometer dari bandar Jertih. 

Hutan Lipur Lata Tembakah semakin terkenal sebagai tempat istirahat. Suasana hutan yang damai dan air terjun yang jernih menjadikan hutan lipur diminati untuk dikunjungi. Jenis hutan di kawasan itu merupakan jenis hutan dipterokarpa bukit.

Keindahan Hutan Lipur Lata Tembakah sentiasa diperkatakan oleh mereka yang pernah mengunjunginya. Keistimewaan Lata Tembakah dikaitkan dengan kawasan yang luas dan jeram air terjun yang banyak. 

Terdapat tujuh tingkat air terjun di Lata Tembakah yang mana setiap satunya di lokasi berlainan. Salah satu air terjun itu melimpahkan air dari ketinggian 100 meter.

Hutan lipur di bawah pengendalian Jabatan Hutan Terengganu itu berkeluasan 300 hektar. Kawasan itu dibuka dari lapan pagi hingga lima petang, kecuali mereka yang mengindap di chelet dan berkhemah.

Pengunjung tidak menghadapi kesukaran untuk bergerak dari satu tingkat air terjun ke tingkat seterusnya. Laluan konkrit dan tangga disediakan untuk kemudahan pengunjung.

Dari jambatan gantung di pintu masuk, untuk ke air terjun di tingkat 5, ia mengambil masa lebih kurang 60 minit dengan jarak sejauh 1.5 kilometer. Manakala untuk ke air terjun tingkat pertama, ia terletak lebih kurang 700 meter yang mengambil masa kira-kira 20 minit berjalan kaki.

Di sepanjang laluan konkrit dibina tempat rehat terbuka, tempat rehat berbumbung, tempat menukar pakaian, tapak BBQ dan tandas. Pengunjung boleh memilih tempat yang sesuai tanpa perlu berjalan jauh.  

Perjalanan ke tingkat enam dan tujuh memerlukan pengunjung menggunakan denia laluan khas mengikut arah yang disediakan, iaitu satu lencongan bermula dari tapak perkhemahan. Bagaimanapun, ada pengunjung yang meneruskan perjalanan terus ke air terjun tingkat lima dan melalui lereng curan untuk ke air terjun tingkat enam dan tujuh. 

Selain keistimewaan mempunyai banyak air terjun yang sudah tentunya memberi banyak pilihan kepada pengunjung, aliran sungai yang panjang memberi pilihan kepada pengunjung untuk beristirahat di kawasan yang disukai.  

Kebanyakan keluarga yang berkunjung bersama-sama anak kecil memilih tempat yang lebih selamat seperti tempat yang tidak curam dan air yang cetek. 

Sesiapa sahaja yang datang ke Lata Tembakah pasti akan merasai kepuasan. Ramai mengakui apa yang dirasai di Lata Tembakah sukar ditandingi di tempat-tempat lain.

Untuk aktiviti perkhemahan, bermalam dan lain-lain aktiviti di hutan lipur, sila berhubung dengan Unit Hutan Lipur Dan Rekreasi, Ibupejabat, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu. 

Lata Tembakah terletak di dalam hutan lipur, oleh itu terdapat banyak khazanah alam samada pokok-pokok hutan yang bernilai tinggi mahupun koleksi pokok-pokok herba yang mempunyai khasiat tersendiri disekelilingnya.

Kawasan ini mula dimajukan sekitar tahun 1987 dan menjadi tarikan pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar negeri disebabkan oleh beberapa keistimewaan yang terdapat di sini.

Hutan lipur yang masih suci daripada pembangunan ini menyajikan keindahan flora dan fauna menakjubkan. Desiran air terjun disulami kicauan pelbagai unggas memberikan pemandangan sungguh mendamaikan dan mampu mengajak pencinta alam pemikir yang mahu mentafsir kejadian ciptaan Yang Maha Esa.

Kehijauan landskap semula jadinya sudah lama menambat hati pengunjung yang sering menjadikan hutan lipur ini sebagai lokasi riadah bersama rakan atau keluarga pada hujung minggu. Kedinginan airnya membuatkan pengunjung tidak puas mandi, apatah lagi apabila dikelilingi panorama air terjun.

No comments:

Post a Comment