Sunday 23 September 2018

CAMERON HIGHLANDS PERANGINAN TANAH TINGGI

Malaysia mempunyai beberapa kawasan pelancongan tanah tinggi yang menjadi tumpuan penduduk tempatan atau pelancong luar. Salah satu tempat pelancongan tanah tinggi terkenal ialah Cameron Highlands. Perkembangan industri pelancongan di Cameron Highlands amat pesat sehingga ketika puncak cuti minggu dan cuti persekolahan, kawasan di Cameron Highlands sesak dengan pengunjung.  

Ketinggian Cameron Highlands dari paras laut kira-kira 1,829 meter. Puncak tertinggi ialah Gunung Berinchang iaitu kira-kira 2031 meter. Pandangan panoramik daripada puncak Gunung Brinchang, juga merupakan jalan yang tertinggi di Semenanjung Malaysia pada ketinggian 2000 meter.

Cemeron Highlands terletak di Banjaran Titiwangsa di negeri Pahang. Cameron Highlands mula ditemui oleh William Cameron, seorang juruukur Inggeris pada tahun 1885 ketika melakukan ekspedisi di kawasan Banjaran Titiwangsa. Beliau mencadangkan pihak pentadbiran Inggeris agar memajukan kawasan tersebut sebagai tempat peranginan. 

Kawasan tersebut kemudiannya dibangunkan sebagai Hill Station oleh pihak kerajaan semasa itu. Diwujudkan sebagai pentadbiran daerah yang tersendiri selepas perang dunia kedua. Majlis Daerah Cameron Highlands ditadbir oleh sebuah jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Pembangunan Cameron Highlands sehingga penghujung tahun 1931

Cuaca di Cameron Highlands berhawa sederhana sejuk. Suasananya nyaman dengan kehijauan alam semula jadi memang amat sesuai dijadikan tempat istirahat. 

Pembangunan industri pelancongan telah mewujudkan landskap buatan di Cameron Highlands lebih menarik dan menceriakan. Banyak tempat menarik seperti taman ros, taman kektus, ladang teh, taman rama-rama, kebun sayur dan ladang buah-buahan menjadi kunjungan pelancong sepanjang tahun.

Pengunjung ke Cameron Highlands berpeluang menikmati suasana seperti di negara sejuk, walaupun tidaklah terlalu sejuk. Suasana seperti di negara Barat dapat dirasakan apabila terdapat banyak rumah kediaman berkonsepkan rumah di negara Barat. Sebab itu Cameron Highlands digelarkan ‘A Little Bit of England’.

Kebanyakan penduduk di Cameron Highlands terdiri daripada petani yang mengusahakan kebun sayur, kebun buah-buahan, ladang bunga dan bekerja di ladang teh. Cameron Highlands menjadi pengeluar utama sayur-sayuran di negara kita.  

Pengusahan tanaman bunga di Cameron Highlands pada awalnya sekadar untuk memenuhi permintaan tempatan. Bagaimanapun, sejak tahun 80 an, hasil bunga-bungaan Cameron Highlands telah dieksport ke negara seperti Singapura, Jepun, Thailand, Hong Kong, Taiwan dan beberapa negara lain. Bunga ros menjadi pilihan utama. Terdapat beratus-ratus spesis ros ditanam di Cameron Highlands.

Pekerjaan utama lain penduduk Cameron Highlands ialah yang berkaitan dengan industri pelancongan seperti bidang perhotelan dan penyediaan produk pelancongan.   

Banyak tempat menarik di Cameron Highland yang tidak habis dilawat dalam masa sehari. Pengunjung tidak menghadapi masalah untuk bermalam di Cameron Highlands. Banyak terdapat rumah tumpangan dan hotel dengan kadar sewa berpatutan disediakan.  

Jumlah penduduk Cameron Highlands pada tahun 2015 seramai 40,000. Biarpun angka itu dianggap masih kecil, namun peratusan peningkatan jumlah penduduk di Cameron Highlands dikata hampir 3 peratus setahun. Peratusan peningkatan yang besar itu selari dengan pembangunan pesat di Cameron Highlands.  

Jarak perjalanan Cameron Highlands dari Kuala Lumpur ialah 300 km atau 3 jam 40 minit perjalanan melalui lebuhraya PLUS. Pengunjung akan melalui susur keluar Tol Tapah. Jarak perjalanan dari Tapah hanya 60km, tetapi di situlah cabaran sebenar perjalanan bermula. Jalan bengkang bengkok, licin dan sempit antara cabaran yang anda hadapi. Sesiapa yang tidak tahan kebiasaanya akan mengalami mabuk dan muntah.

Udara sejuk mula menyapa anda taktala anda melalui pekan Ringlet. Purata suhu di pekan Ringlet sekitar 16 darjah celcius mendinginkan lagi suasana.

Laluan alternatif lain bagi mereka dari Kuala Lumpur atau Lembah Kelang ialah melalui Leburaya Gombak - Betong. Keluar di Plaza Tol Bentong, terus ke Raub, kemudian Sungai Koyan dan terus menuju Cemeron Highlands. Pekan pertama ditemui juga Ringlet. Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur kira-kira 260 kilometer. Laluan itu merupakan jalan utama bagi mereka daripada Pahang.

Sekiranya anda daripada Utara, laluan bermula dari Simpang Pulai berhampiran Ipoh dan akan menemui pekan pertama adalah Kampung Raja. Pengunjung dari Kelantan dan Terengganu pula melalui Gua Musang menuju Lojing sebelum memasuki Kuala Raja.

Jarak antara bandar yang terdapat di Cameron Highlands:
Ringlet ke Tanah Rata - 13km
Tanah Rata ke Brinchang - 6km
Brinchang ke Tringkep - 8km
Tringkap ke Kuala Terla - 5km
Kuala Terla ke Kampung.Raja - 3km

Penampatan utama di Cemaron Highlands:
- Ringlet. Merupakan pekan pertama yang akan dilalui jika pengunjung menggunakan laluan Tapah -  Cameron Highlands.
- Tanah Rata. Pusat pentabiran bagi Daerah Cemerons Highland. Di sini terdapat pejabat kerajaan, ibu pejabat polis daerah, hospital dan kediaman.
- Brinchang. Pekan tertinggi di Cemeron Highlands. Terkenal tempat pasar malam beroperasi. Menjadi pilihan pengunjung yang ingin suasana malam yang meriah.
- Kea Farm. Terkenal sebagai pusat membeli sayur dan pelbagai jenis buah. Kini pesat membangun dengan terbinanya hotel besar.
- Blue Valley. Kawasan terdapatnya ladang sayur dan ladang bunga.
- Tringkap. Kawasan ini menjadi penempatan penanam sayur. Terdapat pasar sayur utama di sini.
- Kuala Terla. Juga merupakan kawasan ladang sayur dan bunga-bungaan.
- Kampung Raja. Menjadi pekan pertama ditempuhi jika datang dari Simpang Pulai dan Lojing.  

No comments:

Post a Comment