Sunday, 23 September 2018

MESIN MINI PADI MEMUDAHKAN PROSES HASILKAN BERAS

Mesin mini memproses padi menjadi beras. Teknologi membantu manusia mudah melakukan sesuatu tugasan atau keperluan. Kebanyakan teknologi baru bukan sahaja lebih baik dari segi kecekapan berbanding jentera atau mesin sebelumnya, tetapi juga dari segi ukuran lebih kecil.

Lihat sahaja gambar mesin memproses padi di atas. Ukurannya kecil dan mudah ditempatkan di kawasan kecil dan senang dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat. Kalau dahulu, sebut sahaja mesin memproses padi menjadi beras, ukurannya memang besar. 

Perlu beroperasi dalam tempat atau kilang yang luas. Paling kecil mesin memproses padi pada masa dahulu memerlukan kawasan 10 meter kali 2 meter. Itu hanya baru untuk meletak mesin.

Dengan mesin mini memproses padi, hanya kawasan kecil diperlukan. Sudah namanya mini, kuantiti yang mampu diproses juga sedikit untuk satu-satu tempoh masa, tetapi sudah dianggap ‘cekap’ dan maksimun untuk satu ukuran mesin yang kecil dan kos yang rendah.

Tulisan ini bukan ingin mempromosi mesin mini memproses padi menjadi beras gambar di atas, tetapi bercakap tentang wujudnya mesin-mesin mini seperti itu. Sebenarnya banyak lagi mesin memproses beras mini yang ada dipasaran. 

Dengan anggaran harga RM2000 hingga RM5000 anda sudah boleh membeli mesin mini memproses padi menjadi beras seumpama ini.  

Pada masa dahulu, lesung hindik digunakan untuk mengasingkan kulit padi agar menjadi beras. Pada masa dahulu, padi yang dituai sama ada disimpan tanpa dipisahkan dari tangkai. 

Padi yang disimpan bersama tangkai yang diikat dipanggil gemai. Padi yang disimpan bersama tangkai biasa lebih tahan. Selain disimpan bersama tangkai, padi juga disimpan dalam bentuk yang telah dileraikan dari tangkai.

Biji padi diseliputi kulit. Untuk mengasingkan kulit, pada masa dahulu padi perlu ditumbuk dengan lesung padi atau dipanggil lesung hindik. Lesung hindik diperbuat daripada kayu yang tahan lama. Ia terdiri daripada ibu yang ditanam di dalam tanah. Ibu lesung menjadi tempat untuk diletakkan beras.

Terdapat satu batang kayu yang di hujungnya diletakkan alu. Untuk menumbuk beras di ibu lesung, batang yang bersambung dengan alu akan dipijak dengan kaki dan dilepaskan. 

Ketika dipijak, alu akan naik ke atas dan apabila dilepaskan, alu akan jatuh ke dalam ibu lesung yang mengandungi beras. Proses pukulan itu akan menyebabkan kulit beras tertanggal. Beras yang telah tertanggal kulit dipanggil beras.

Kulit padi dipanggil sekam atau dedak. Untuk mengasingkan sekam dengan beras, ia perlu ditampi menggunakan nyiru atau badang.

Lesung hindik biasanya dikongsikan penduduk kampung. Maknanya tidak semua petani atau penduduk mempunyai lesung hindik. Tambahan pula, penggunaan lesung hidik tidak digunakan pada masa sama. Jadi, mudahlah untuk penduduk kampung bergilir-gilir menggunakan lesung hindik.

No comments:

Post a Comment