Tuesday, 18 September 2018

PANTAI SRI KEMAYANG TAWANG

Projek Pembangunan Kemasin-Semerak banyak memberi kebaikan kepada penduduk di sekitar jajahan (daerah) Bachok dan Pasir Putih, di Kelantan. Di antara projek tersebut ialah pembinaan benteng pemecah ombak bagi Sungai Pengkalan Datu, Sungai Kemasin dan Sungai Tok Bali.

Pembinaan benteng pemecah ombak dan pembentukan muara yang lebih dalam bertujuan membuka laluan bagi memudahkan kapal dan bot nelayan keluar dan masuk muara. Ia juga bertujuan mengelak kejadian banjir disebabkan muara cetek.

Pada masa yang sama benteng pemecah ombak tersebut juga menjadikan muara sungai-sungai berkenaan lebih cantik dan sesuai dijadikan pusat pelancongan.

Bagi muara Sungai Kemasin berhampiran Tawang, kini semakin menjadi tempat tumpuan pengunjung untuk berkelah dan memancing.

Pantai tersebut yang dahulu tidak bernama, kini dikenali Sri Kemayang mengambil nama kampung berhampiran pantai tersebut iaitu Kemayang. Pantai Sri Kemayang hanya terletak kira-kira 17 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu menjadikan ia pilihan penduduk Kota Bharu untuk beristirehat dan beriadah.

Di pantai tersebut dihiasi dengan pokok rhu dan ketapang yang ditanam ketika ia mula dibangunkan. Kini pokok tersebut telah membesar membentuk pemandangan yang indah dan boleh dijadikan tempat berteduh bagi pengunjung ke situ.

Walaupun telah terdapat benteng batu di muara sungai, kawasan persisir pantai tidak terlepas mengalami hakisan pantai, terutama pada musim tengkujuh apabila ombak besar memukul pantai. 
 
Untuk mengelak lebih banyak kawasan pantai terhakis, maka pihak kerajaan telah membina benteng batu selari dengan pantai dengan membiarkan beberapa tempat tanpa benteng.

Pembina bentang dan tempat tanpa benteng itu memberi satu proses kejadian alam lebih menarik di mana tempat tanpa benteng itu menjadi 'teluk' yang mana ombaknya tidak besar dan kawasan pantai yang landai. Ia amat sesuai untuk dijadikan tempat bermain dan mandi bagi kanak-kanak. Keadaan lebih selamat dan terkawal.

Selari dengan 'permintaan' kawasan santai dan istirehat, terdapat pengusaha yang menyediakan restoran dan chalet di kawasan berkenaan. Kawasan tumpuan semakin luas apabila semakin ramai pengunjung datang, terutama pada sebelah petang cuti hujung minggu.

Kewujudan kemudahan di Pantai Sri Kemayang memberi pilihan kepada penduduk sekitar Kota Bharu dan Bachok untuk bersantai pada waktu petang, selain di Pantai Irama, Pantai Cahaya Bulan dan Pantai Senok.

No comments:

Post a Comment