Nama tempat perkhelahan Jeram Pasu sudah tidak asing di Kelantan. Ia
terletak kira-kira 37 kilometer daripada Kota Bharu dan hanya kira-kira tujuh
kilometer dari pekan Pasir Putih. Sebenarnya, Air Terjun Jeram
Pasu ini merupakan pusat rekreasi yang paling awal dibuka di kawasan Pasir
Puteh.
Jeram Pasu ini juga terkenal sebagai tempat rekreasi yang dipenuhi
keindahan flora dan faunanya yang tersendiri. Untuk keselesaan pengunjung,
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Pasir Puteh telah membina
banyak kemudahan seperti tempat letak kereta, surau, wakaf rehat, tandas awam,
restoran dan gerai serta kolam mandi buatan.
Keistimewaan Jeram Pasu ialah air
terjun utama telah dibuat benteng untuk mengempang air dan membentuk kolam yang
sesuai untuk orang dewasa mandi manda. Airnya lebih dalam dan lebih dingin
kerana berpunca dari atas bukit.
Air limpahan dari kolam utama
membentuk pula satu lagi air terjun yang cantik. Air daripada empangan
dialirkan melalui gelongsor yang dibuat menuju ke kolam lain di bahagian
bawah.
Terdapat dua gelongsor dibuat iaitu
untuk kegunaan orang dewasa dan satu lagi untuk kanak-kanak.
Panjang gelongsor untuk orang dewasa
kira-kira 40 meter dan kedalaman kolamnya lebih kurang 1 meter. Manakala
gelongsor dikhaskan untuk kanak-kanak panjangnya hanya kira-kira 10 meter dan
kedalaman kolam kira-kira 0.4 meter.
Pembinaan dua kolam yang kedalamnya
berbeza untuk orang dewasa dan kanak-kanak memberi peluang pengunjung untuk
mandi manda dengan selamat. Ibu bapa merasa lebih yakin membenarkan anak mereka
untuk mandi manda di kolam kanak-kanak.
Bagaimanapun, pengunjung tetap perlu
berwaspada menjaga keselamatan. Seringkali golongan remaja melakukan aksi
berbahaya lagak penerjun profesional. Sedangkan, tempat tersebut tidak sesuai
untuk melakukan aksi tersebut.
Akibat perbuatan tersebut, banyak
kes kemalangan jiwa dan kecederaan berlaku di Jeram Pasu. Kemalangan tersebut
sepatutnya dapat dihindar jika pengunjung lebih berhati-hati dan mengambil
langkah keselamatan yang sewajarnya.
Pengunjung yang ingin merasai
pengalaman mendaki bukit boleh melalui trek untuk ke puncak bukit.
No comments:
Post a Comment