Ayam serama atau ayam katik mendapat
perhatian di mana-mana. Perkataan serama diambil
dari perkataan Raja Sri Rama iaitu sebuah watak di dalam Wayang Kulit yang
dikatakan mempunyai watak kepahlawanan dan segak. Manakala perkataan katik pula
mengikut Kamus Dewan Bahasa ialah kecil atau pendek.
Semakin kecil ayam serama, semakin
tinggi nilainya. Memiliki ayam serama terbaik menjadi kebanggan pemiliknya.
Sebab itu, ramai peminat ayam serama
sanggup menghabiskan masa dan wang semata-mata ingin mendapat ayam serama
terbaik. Ayam serama terbaik bukan sahaja hasil dari baka, tetapi juga
bagaimana ia dibela.
Pemilik ayam serama perlu mengetahui
jenis makanan yang sesuai, cara memberi makan dan ‘mendidiknya’ menjadi jaguh
untuk tujuan pertandingan. Ayam serama
yang pernah memenangi pertandingan memberi pulangan dan keuntungan besar kepada
pemiliknya.
Seekor ayam serama memenangi
pertandingan Kesenian Kecantikan Ayam Serama (KKAS) akan mendapat tawaran harga
tinggi sehingga beribu-ribu ringgit.
Malah ada ayam serama yang ditawarkan harga sehingga puluhan ribu ringgit
seekor.
Dengan kata lain,
memelihara ayam serama bukan untuk dagingnya. Ayam serama merupakan sejenis ayam hiasan yang cantik dan menarik yang
mempunyai nilai tersendiri untuk dipelihara.
Di negara kita ia juga dikenali sebagai Ayam
Serama Malaysia adalah sejenis baka ayam katik yang berasal dari Malaysia
semenjak 50 tahun lepas. Ayam serama merupakan sejenis baka yang agak baru
di mana sejarah dan asal usulnya yang tepat tidak jelas. Terdapat lagenda yang
mengatakan ia merupakan keturunan dari pembiakan silang di antara burung
merpati dan ayam.
Cerita lain mengisahkan asal bermula dari
pemberian hadiah ayam katik oleh Raja Siam kepada sultan tempatan pada zaman
dahulu. Ayam serama dipercayai berasal dari Kelantan dan ia terus dipopularkan
di negeri tersebut sebelum ianya berkembang keseluruh negara.
Terdapat ramai peminat ayam serama yang
berpersatuan untuk tujuan membuat pertandingan ayam serama tercantik setiap
tahun. Mereka akan mengadakan perjumpaan ayam serama dengan hadiah pemenang
untuk ayam serama yang lumayan.
Ayam serama mula dipamerkan pada tahun 1990.
Seterusnya pada tahun 2000 ayam ini merupakan kemuncak popularitinya di
Malaysia. Baka ayam serama ini terjejas teruk semasa wabak selselema burung
pada tahun 2004 apabila lebih dari 50,000 ekor ayam serama tersebut telah
dihapuskan.
Ayam serama masih dipelihara dan masih ada
peminatnya biarpun tidak sehebat ketika kemuncak popularitinya.
No comments:
Post a Comment