Wednesday, 10 October 2018

HUTAN LIPUR BUKIT BAKAR


Hutan Lipur Bukit Bakar yang terletak di daerah Machang dibangunkan sebagai pusat rekreasi taman hutan yang diuruskan oleh Jabatan Perhutanan. Hutan Lipur Bukit Bakar juga dikenali Hutan Eko Rimba Bukit Bakar.

Hutan, air terjun dan aliran sungai dijadikan eleman tarikan Hutan Lipur Bukit Bakar. Walaupun telah dibangunkan dengan pelbagai kemudahan sebagai tempat reakrasi, keaslian dan keindahan semulajadi tetap terpelihara.

Tapak Hutan Lipur Bukit Bakar hanya 7 kilometer dari bandar Machang dan kira-kira 55 kilometer dari Kota Bharu. Hutan Lipur Bukit Bakar terletak dalam Hutan Simpan Ulu Sat yang merupakan jenis hutan dipterokarpa bukit.

Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang telah dibuka pada tahun 1975. Keluasan hutan lipur ini ialah 3.14 hektar terletak di dalam kompatmen 6 Hutan Simpan Ulu Sat.

Hutan Lipur ini sesuai dikunjungi oleh keluarga sebagai tempat beristirehat. Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan seperti taman kanak-kanak, pondok rehat, kolam mandi, jambatan gantung, tandas awam di samping sungai yang mengalir, kehijauan hutan hujan tropika serta flora dan fauna.

Bagi pengunjung yang ingin berkhemah, mereka perlu mendapat kebenaran dari Penguasa Hutan Lipur ini iaitu Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan.

Untuk memudahkan pengunjung mandi, terdapat beberapa kawasan takungan air yang dibuat dengan konkrit. Kedalamannya sekitar satu hingga tiga kaki sesuai untuk tempat kanak-kanak mandi manda. Bagaimanapun, pengunjung dinasihatkan berhati-hati memandangkan terdapat beberapa tempat yang airnya agak dalam.  

Pengunjung tidak berdepan dengan masalah untuk memilih tempat yang sesuai mengikut citarasa masing-masing. Hutan Lipur Bukit Bakar amat luas untuk menampung kedatangan pengunjung yang ramai. 

Sekiranya pengunjung sanggup berjalan merentas hutan, banyak tempat lebih menarik terutamanya beberapa air terjun kecil dan jeram yang mendamaikan. Namun, pengunjung yang tidak biasa dengan kawasan itu dinasihatkan tidak melakukan rentas hutan secara perseorangan ditakuti sesat.   

No comments:

Post a Comment