Saturday 13 October 2018

RAWATAN GUASA URUTAN TANDUK KERBAU MEMBUANG TOKSIN

Siapa pernah guasa? Guasa satu rawatan terapi sangat baik untuk membuang toksin dan melancarkan perjalanan darah.

Guasa diamalkan sebagai terapi merehatkan badan, mengesan penyakit dan merawat penyakit. Ia dilihat sebagai terapi pembaharuan molekul yang merangsang pembekalan oksigen, menyingkirkan toksin dan melancarkan pengaliran darah ke seluruh tubuh.

Urutan dilakukan menggunakan papan yang diperbuat daripada tanduk kerbau. Secara umumnya, fungsi terapi ini boleh dikatakan menyamai akupunktur dan bekam.

Meskipun terapi ini tersebar luas di kalangan rakyat China sejak Dinasti Tang, namun ia boleh disifatkan masih dipandang tinggi dan diyakini oleh masyarakat China.

Khidmat pakar terapi guasa digunakan sebagai pakar perubatan sukan antarabangsa. Guasa boleh membuang toksin dalam badan dan mengekalkan kesihatan. Malah, dengan hanya dua bulan mengamalkan terapi guasa, pemulihan kesihatan dapat dilihat.

Di Malaysia, kaedah terapi ini semakin popular di kalangan masyarakat Melayu dan India. Gua bermaksud gesek dan sa pula ialah tempat yang sakit yang mengeluarkan bintik merah. Maka guasa ialah satu perbuatan menggesek pada badan sehingga mengeluarkan bintik merah yang merupakan toksin dalam badan.

Teknik guasa mudah. Ia boleh dilakukan di mana-mana. Boleh lakukan sendiri atau minta orang lain lakukan bagi tempat yang sukar dicapai seperti bahagian belakang badan. Ia boleh dilakukan dengan berpakaian atau tidak.

Sudah tentu urutan tidak beralas pakaian kesannya lebih baik. Sesiapa sahaja (melainkan orang tua yang terlalu uzur, terlantar sakit atau ibu mengandung) digalakkan melakukan guasa. Cuma gesekan dilakukan mengikut usia dan personaliti individu. Jika seseorang itu muda dan kuat, gesekan boleh dilakukan secara lebih pantas dan sebaliknya.

Penggunaan papan yang diperbuat daripada tanduk kerbau dipilih kerana mengikut kajian perubatan China ia mempunyai elemen sejuk. Dalam masyarakat China menerusi konsep keharmonian bertentangan yin dan yang, badan disifatkan sebagai panas.

Ia juga lebih baik daripada penggunaan bahan plastik yang bersifat elektrostatik yang mungkin mengganggu fungsi tubuh dalam reaksi dengan guasa. Ada juga yang menggesek dengan bahan-bahan yang mahal seperti jed dan ada yang gesek menggunakan bahan seperti duit syiling tetapi takut ia mencederakan kulit.

Guasa bertindak seperti mengenal pasti titik-titik bahagian tubuh dalam akupunktur namun ia lebih mudah kerana ia bukan mengesan titik sebaliknya melakukan gesekan pada meridian titik iaitu garisan yang menghubungkan titik-titik bahagian badan itu.

Terapi asas guasa bukan sahaja dapat melegakan tekanan tubuh kerana ia dapat menyingkirkan toksin berupa sel-sel tubuh yang mati dan terhimpun pada tubuh yang mengganggu pengaliran darah.

Terapi juga dapat mengesan penyakit. Rawatan guasa merupakan langkah seterusnya yang sukar untuk dijelaskan di sini kerana gesekan perlu dilakukan di bahagian-bahagian tubuh berlainan dan melibatkan 400 penyakit termasuk migrain, sakit tulang, insomnia, barah payu dara, mati pucuk, buasir, masalah paru-paru, jantung, usus dan banyak lagi.

Terapi asas dimulakan dengan gesekan pada bahagian kepala. Kepala digesek menghala dari belakang ke depan bermula bahagian atas tengah diikuti kiri dan kanan kepala. Gesekan dilakukan pada setiap bahagian di antara 20 hingga 30 kali. Jika gesekan berjalan lancar ia mungkin menunjukkan pesakit tidak ada masalah penyakit kepala seperti migrain.

Kemudian beralih ke bahagian belakang tubuh badan. Gesekan dilakukan pada tulang belakang dari atas ke bawah. Semasa gesekan dilakukan kelihatan warna-warna merah keluar daripada tubuh badan pesakit.

Selepas selesai bahagian tulang belakang, ambil jarak dalam dua jari ke kiri badan dan lakukan gesekan di bahagian tersebut membentuk garisan selari dengan garisan tulang belakang tadi. Selepas itu, ambil jarak dua jari ke kanan badan dan buat perkara yang sama.

Bintik-bintik merah gelap dan lebam menunjukkan ada penyakit yang lebih serius. Misalnya, jika terdapat warna merah yang sangat teruk di garisan kanan badan, ia menunjukkan pesakit ada masalah paru-paru manakala di bahagian kiri badan menunjukkan masalah jantung.

Selepas itu, buat urutan terapi guasa di bahagian bahu dengan gerakan dari dalam ke luar bermula dengan bahu kiri dan kemudian bahu kanan. Kawasan ini menunjukkan masalah usus.

Setiap sesi urutan terapi penuh mengambil masa kira-kira 30-45 minit. Akibat urutan itu akan menghasilkan garis-garis merah seperti birat. Walaupun ia nampak seperti birat namun ia tidak pedih apabila disentuh atau terkena air,

Guasa juga boleh dilakukan untuk kecantikan wajah dengan melakukan terapi wajah guasa. Gesekan lembut pada wajah mampu menjadikan wajah lebih awet muda. Gesekan 10 kali dilakukan pada bahagian-bahagian muka.

No comments:

Post a Comment