Ajaran Islam penuh
dengan toleransi sesuai dengan komitmen untuk melahirkan kehidupan yang aman,
sejahtera dan selamat, bukan saja kepada umat Islam, bahkan kepada manusia
sejagat.
Sesungguhnya, sifat
ganas dan melampau yang ditonjolkan oleh segelintir umat Islam sekarang, bukan
dari ajaran Islam. Tindakan mengebom tempat awam tidak termasuk istilah
peperangan atau jihad yang dibenarkan oleh Islam. Sebarang bentuk kematian dan
kemusnahan akibat tindakan itu adalah satu jenayah.
Individu meletupkan dirinya
tidak boleh dianggap syahid, sebaliknya membunuh diri sendiri. Niat baik tidak
menghalalkan sesuatu perbuatan yang salah.
Orang awam tidak
terlibat secara langsung dalam usaha memerangi Islam secara kekerasan atau
ketenteraan Oleh itu, orang awam adalah
di antara golongan yang diharamkan diperangi atau dibunuh, kecuali mereka ambil
serta dalam tindakan kekerasan atau ketenteraan memusuhi Islam.
Malah, dalam
peperangan sekalipun, Islam masih menekankan kepada tindakan sekadar untuk mempertahankan
hak dan menegakkan kebenaran. Sebarang tindakan ketenteraan perlu dilakukan
pada tahap mencapai matlamat dan bukan melampaui batasan.
Firman Allah
bermaksud: “Berperanglah kamu semua di jalan Allah demi memerangi orang-orang
yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah
tidak sukakan orang yang melampau batas.” - (Surah al-Baqarah, ayat 190).
Peperangan tidak
semestinya melibatkan kematian, jika ia tidak memerlukan tindakan sehingga
tindakan ke tahap itu. Peperangan ketika Rasulullah pembukaan kota Makkah tidak
melibatkan kehilangan jiwa, sedangkan tentera Islam mampu melakukan apa saja
tindakan termasuk membunuh beramai-ramai. Peristiwa itu jelas membuktikan Islam
tidak sukakan pertumpahan darah.
Bahkan, jika terpaksa
berpereang, maka peperangan itu perlu diiystiharkan bagi memberi peluang pihak
yang ditentang sama ada ingin berperang atau berdamai. Islam lebih pentingkan
keamanan dan perdamaian berbanding dengan peperangan.
Firman Allah
bermaksud: “Sekiranya mereka cenderung untuk berdamai, maka cenderunglah ke
arah itu, dan berserahlah kepada Allah.” - (Surah al-Anfal, ayat 61).
Dalam menghadapi
cabaran umat Islam kini, cara peperangan tidak sesuai untuk dipraktikkan. Kemampuan
ketenteraan negara-negara Islam amat lemah jika dibandingkan dengan negara
bukan Islam. Bahkan, kebanyakan negara Islam masih bergantung sistem
pertahanannya kepada negara bukan Islam.
Sebaliknya, kita
perlu melihat dalam diri sendiri apakah punca kelemahan sebenar yang dihadapi
umat Islam. Usaha membina kekuatan dalam diri dan mengamalkan ajaran Islam yang
sebenar adalah cara terbaik menghadapi cabaran yang dihadapi sekarang.
Dr Yusof al-Qardhawi
berpendapat jihad yang lebih sesuai bagi umat Islam sekarang ialah memberi
penekanan kepada bidang ekonomi, pendidikan, politik dan sosial. Sekiranya
kesemua elemen penting ini dapat dikuasai umat Islam, sudah pasti nasib umat
Islam akan lebih terbela dan tidak lagi menjadi mangsa kepada kelemahan diri
sendiri.
Ramai yang mudah
terpanggil dengan seruan jihad dengan alasan ia tindakan paling mulia dan
dijanjikan balasan syurga bagi sesiapa mati syahid. Hakikat balasan syurga yang
dijanjikan Allah kepada sesiapa mati syahid tidak diragui seperti mana
dijelaskan dalam al-Quran dan hadis. Tetapi, apa yang diragui ialah apakah
tindakan yang dilakukan itu layak dipanggil jihad.
Kita mudah melabelkan
sesuatu perjuangan dengan jihad. Segelintir umat Islam mudah memberi takrif
jihad apabila sesuatu yang dilakukan didakwa bersangkutan kepentingan Islam.
Malah, ramai mengaitkan jihad apabila sanggup mati di medan perang atau
melakukan sesuatu tindakan yang mendedahkan diri kepada bahaya.
Pengertian jihad
sebenarnya tidak hanya terikat kepada maksud yang mengerikan; kematian dan
kemusnahan. Sebaliknya, jihad membawa maksud yang lebih luas yang membuktikan
kesungguhan dan perbuatan yang tegas dalam melakukan sesuatu untuk meningkatkan
martabat ummah.
Akibat jihad yang
tidak mendalami kehendak agama, orang Islam dipadang sukakan kemusnahan,
kekerasan, dahagakan darah, emosional, taksub dan tidak boleh bertolak ansur.
Keadaan ini digunakan oleh masuh Islam sebagai senjata memusuhi dan memusnahkan
umat Islam melalui tindakbalas yang dianggap mempertahankan hak dan diri.
Sesungguhnya,
kedudukan dan maruah umat Islam lebih dipandang tinggi jika mengamalkan sifat
toleransi dan mengutamakan cara hidup yang bersumberkan kepada al-Quran dan
hadis. Mudah-mudahan amalan itu dapat memulih maruah Islam dan menarik lebih
ramai orang memeluk Islam. Cara itu lebih selamat dan menepati kehendak Islam
yang sebenar.
No comments:
Post a Comment