Wednesday, 24 October 2018

UCAPAN SALAM BUKAN SEKADAR ADAT


Islam agama yang syumul telah mengatur cara hidup yang sempurna dalam semua aspek. Amalan yang nampak mudah, tetapi mempunyai makna yang cukup besar dalam menjana kehidupan yang lebih sempurna dan memenuhi fitrah manusia. Antara amalan tersebut ialah mengucap salam dan menjawabnya. 

Pada asasnya ucapan salam sama tujuannya dengan ucapan sapaan seperti helo, hai, apa khabar dan selamat pagi. Bagaimanapun, salam tidak boleh disamakan dengan mana-mana perkataan sapaan lain.  Ucapan salam dan menjawabnya adalah suruhan agama. Banyak kebaikan yang terzahir melalui amalan salam. 

Peri pentingnya memberi dan menjawab salam dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila salah seorang kamu bertemu dengan seorang sahabatnya, maka hendaklah mengucapkan assalamualaikum warahmatullah.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Nasai)

Hadis itu jelas bermaksud mengarahkan agar setiap Muslim mengucapkan salam apabila berjumpa dengan muslim lain. Suruhan itu ditegaskan dalam hadis lain yang menjelaskan dilarang bercakap tanpa dimulakan dengan salam yang membuktikan betapa pentingnya salam dalam Islam. 

Hadis diriwayatkan Tabrani dan Abu Naim bermaksud: “Sesiapa mulai bercakap-cakap sebelum memberi salam, maka janganlah kamu menjawab percakapannya, sehinggalah dia memulainya dengan memberi salam.”

Memberi salam pembuka tirai suatu perkenalan atau meneruskan hubungan yang sedia terjalin. Salam menghancurkan rintangan untuk bermesra antara satu dengan lain kerana dalam salam terkandung maksud yang tersurat dan tersirat. 

Banyak kebaikan diperoleh melalui ucapan salam dan menjawabnya.   

- Memberi salam dan menjawab salam adalah doa. Ungkapan salam paling ringkas ialah ‘assalamualikum’ yang bermaksud ‘doa sejahtera ke atas kamu’. Manakala jawapan salam ringkas ialah ‘walaikummussalam’ yang bermaksud ‘dan doa sejahtera juga ke atas kamu’.  

Mendoakan kebaikan terhadap sesama Muslim adalah tanda persaudaran. Semakin banyak ucapan doa melalui salam, maka lebih banyak doa dibalas untuk kita. Maka sesiapa yang ingin dia didoakan kebaikan kepadanya, hendaklah dia terlebih dahulu memulakan doa itu kepada orang lain.    

- Tanda keikhlasan hati.  Doa yang diucapkan adalah tanda keikhlasan mengharapkan kesejahteraan kepada orang lain. Secara tidak langsung akan terpancar akhlak mulia dan terpuji yang menimbulkan ketenangan dan kebahagiaan pada diri, keluarga dan masyarakat.

Manusia dicipta berlain bangsa dan pelbagai budaya agar kehidupan lebih harmoni dan saling memerlukan antara satu sama lain. Sesungguhnya keikhlasan hati dalam menjalin hubungan amat diperlukan. Tidak ada manusia yang dicipta kedudukannya melebihi orang lain melainkan takwanya yang menentukan tarafnya di sisi Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu terdiri daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbagai bangsa dan kabilah, adalah untuk saling berkenalan. Sesungguhnya yang lebih mulia di kalangan kamu ialah orang yang lebih bertakwa.” (Surah al-Hujurat 49: 13)

- Ucapan sapaan terbaik.  Siapa mengucapkan helo tidak mendapat apa-apa faedah.  Perkataan selamat pagi pula diterjemahkan daripada perkataan good morning. Mengapakah kita mengucapkan selamat kepada pagi sedangkan sepatutnya selamat didoakan kepada orang ditemui.  Sedangkan, ucapan salam membawa makna kebaikan yang tersirat dan tersurat.  

- Mudah diucapkan.  Perkataan salam dan menjawabnya amat ringkas dan mudah diucapkan.  Ia boleh diucapkan tanpa 'syarat sah', berbanding ibadat lain. Namun, ada 'peraturan' patut diturut untuk mendapat lebih keberkatan.

- Tanda beragama Islam.  Perkataan salam dan menjawabnya adalah sama bagi seluruh umat Islam tanpa mengira bahasa percakapan harian. Justeru apabila ungkapan salam diucapkan, orang lain dapat mengetahui dia beragama Islam serta mudahlah terbentuk ikatan persaudaraan sesama Islam yang berada di seluruh pelusok dunia.   

- Tanda dihormati.  Percakapan yang dimulai dengan salam membentuk hubungan lebih mesra dan dilakukan mengikut adab-adab orang Muslim. Orang yang ditujukan ucapan salam merasakan dirinya dihormati haknya sebagai seorang Muslim. Manakala, orang yang memberi salam pula merasakan kehadirannya diterima apabila salamnya dijawab. 

Hubungan yang terbentuk itu memudahkan untuk melakukan perkara baik lain. Bekerjasama menjayakan kebaikan, memenuhi keperluan hidup, memelihara maruah dan mempertahankan agama.  

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bekerjasamalah untuk kebaikan dan ketakwaan dan janganlah bekerjasama untuk melakukan dosa dan permusuhan." (Surah al-Maidah 5: 2)

- Bolah diucapkan kepada sesiapa.  Ucapan salam boleh ditujukan kepada sesiapa saja, termasuk ahli keluarga sendiri dan orang yang tidak dikenali. Biasanya ucapan salam dijadikan permulaan perkenalan atau perhubungan di antara individu atau kumpulan. Begitu juga ucapan salam dijadikan pembuka kata menandakan kedatangannya dengan tujuan yang baik. 

- Mudah mesra.  Interaksi dimulai dengan salam mudah mesra dan diberkati yang mana sebarang perasaan syak wasangka dan sombong dapat dijauhkan. Ucapan salam menundukkan perasaan buruk, dan digantikan dengan sifat baik.  Kebahagiaan hidup datangnya dari hati yang ikhlas melakukan amalan baik.   

- Bukan sekadar adat.  Walaupun ucapan salam memadai perkataan assalamualaikum, tetapi turut digalakan semasa memberi dan menjawab salam ialah berjabat tangan. Dalam masyarakat Islam di Malaysia, mengucap salam dan berjabat tangan telah sebati diamalkan.  Malah, jika bertemu dengan bukan Islam, kita berjabat tangan tanpa mengucapkan salam.

Tegasnya, apa diamalkan dalam masyarakat kita bukan sekadar adat, tetapi satu ibadat.  Tetapi, jika ia dilakukan sebagai adat, maka ia sekadar menyempurnakan adat.  Sesungguhnya setiap amalan itu dinilai pada niatnya.  

- Lembutkan hati. Perkataan salam adalah sebaik-baik perkataan untuk menghubungkan sesama Muslim. Mengucapkan salam bermakna hati sentiasa digilap bagi mengelak daripada dikotori amalan dosa.  Salam mendekatkan hati dengan suasana kehidupan sebagai seorang Muslim dan dapat melunakkan hati agar suka melakukan kebaikan. 

Sesiapa yang sukar atau berat mulut mengucapkan salam membuktikan hatinya berada dalam keadaan kotor.  Kekotoran hati jika tidak dibersihkan akan menyebabkan diri seseorang berada dalam keadaan jiwa yang tertekan.

- Memberitahu kehadiran. Ketika bertandang ke rumah orang lain, mulakan dengan memberi salam untuk memberi tahu tuan rumah mengenai kedatangan kita. Kebiasannya, selepas menjawab salam, baru tuan rumah akan mempersilakan masuk.   

Salam itu juga boleh dijadikan isyarat kepada penghuni rumah itu agar bersedia menerima tetamu dari segi pakaian dan tatasusila. Dalam rumah itu mungkin terdapat isteri dan anak gadis yang berpakaian tidak menutup aurat.  Setelah mendengar salam dari orang lelaki yang bukan mahramnya, dapatlah berpakaian yang sesuai atau duduk di dalam bilik untuk mengelak dipandang lelaki bukan mahram yang datang bertandang itu.

Memberi salam hukumnya sunat muakkad, iaitu sunat yang amat dituntut dilakukan di mana pahalanya lebih besar daripada sunat-sunat lain.   

Bagaimanapun, menjawab salam adalah wajib bagi sesiapa yang mendengar salam itu sama ada suka atau tidak kepada orang mengucapkan salam itu. Namun, dalam kumpulan ramai, memadai salam itu dijawab oleh seorang saja mewakili kumpulan itu. Pun jika semua orang menjawabnya, maka itu adalah lebih baik. 

Mengucapkan salam tidak dihadkan bilangan. Boleh diucapkan salam kepada orang sama setiap kali bertemu dalam selang masa yang singkat. Tetapi jangan pula keterlaluan sehingga menimbulkan perkara tidak disenangi. Islam lebih suka amalan dilakukan berterusan biarpun sedikit daripada melakukan banyak tetapi dalam tempoh singkat.    

Untuk membiasakan ucapan salam, mulakan dulu di kalangan keluarga dan sahabat terdekat. Memberi salam sebelum memasuki rumah adalah salah satu cara mendapatkan keberkatan dan kejayaan dalam rumah tangga.

Amalan ini pernah disuruh oleh Rasulullah SAW agar dilakukan oleh Anas seperti mana diriwayatkan Baihaqi. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hai Anas!  Ratakanlah wududmu nescaya bertambah umurmu. Berilah salam kepada orang yang engkau temui daripada umatku nescaya bertambahlah kebajikanmu. Dan apabila engkau masuk ke rumahmu, maka berikanlah salam kepada keluargamu nescaya banyaklah kebajikan rumahtangga.”

No comments:

Post a Comment