Wednesday, 24 October 2018

KES PENDERAAN KANAK-KANAK


Setiap hari ada sahaja kes-kes kanak-kanak menjadi mangsa kerakusan pihak yang tidak bertanggungjawab tersiar di media elektronik mahupun cetak. Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan dalam membendung fenomena ini daripada terus menular menjadi barah dalam masyarakat, sekali gus merosakkan masa depan generasi muda negara ini.

Faktor utama berlakunya gejala ini secara berleluasa adalah kerana ibu bapa kurang kefahaman agama, yang mana setiap agama di atas dunia ini amat melarang penganiayaan terhadap orang yang lemah seperti kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Selain itu, berkemungkinan daripada masalah dalaman keluarga tersebut seperti masalah keretakan rumah tangga dan ketiadaan persefahaman antara ibu dan bapa yang membawa impak kepada kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa dan menjadi mangsa keadaan.

Masalah ekonomi juga merupakan penyumbang besar terhadap perlakuan ini. Pendapatan terlalu rendah ditambah pula tanggungan yang ramai serta pengurusan kewangan yang lemah, menyebabkan anak-anak menjadi tempat untuk melepaskan tekanan.

Faktor persekitaran yang tidak stabil atau suasana yang boleh mendatangkan mudarat kepada masa depan kanak-kanak juga antara penyebab perlakuan tidak bermoral seperti; persekitaran yang dilingkungi penagih dadah, pencuri, peragut dan pelacuran.

Di samping itu, ibu bapa yang bekerja mungkin menghadapi tekanan di tempat kerja dan dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak-anak yang tidak berdosa.

Sebagai manusia kita perlulah menghormati hak-hak kanak-kanak di semua negara, khususnya Malaysia. Antara hak kanak-kanak adalah hak berkenaan dengan pendidikan mereka yang mana pihak yang bertanggungjawab haruslah memastikan hak ini terjaga.

Jika didapati kanak-kanak itu tidak mendapat hak ini dengan sempurna maka pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mana-mana pihak yang berautoriti termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bolehlah memainkan peranan masing-masing.

Selain itu, hak kesihatan di mana kanak-kanak berhak untuk mendapat rawatan jika berada dalam keadaan yang kurang sihat dan mengalami kecederaan.

Kanak-kanak juga mempunyai hak psikologi yang harus dihormati. Hakikatnya, ramai yang tidak mengerti hal ini dan mengambil mudah hak tersebut. Psikologi dan emosi kanak-kanak haruslah dijaga seperti iklan yang berunsur lucah di media massa kerana dikhuatiri akan mengganggu emosi kanak-kanak yang fitrahnya mudah terpengaruh.

Selain itu, perbuatan membawa keluar kanak-kanak dari rumah lebih dari pukul 10 malam juga merupakan salah satu pelanggaran hak kanak-kanak kerana pada waktu tersebut mereka sepatutnya sudah tidur.  

Penyelesaian bagi masalah ini telah dicadangkan sekian lama yang mana antaranya perlindungan yang sempurna kepada kanak-kanak. Cuma ada beberapa perkara sahaja yang telah dilaksanakan dalam menyelesaikan masalah ini dan sebahagian lagi masih dalam proses penelitian yang tidak tahu di mana penghujungnya dan bila akan dilaksanakan.

Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam soal ini, yang kita mahukan adalah hak kanak-kanak terjamin dan terjaga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika dikaji dengan teliti dan mendalam.

Kita perlulah kembali melihat kebertanggungjawaban terhadap masalah ini yang mana ibu bapalah yang paling berperanan penting dalam soal ini. Ibu bapa perlu sedar anak-anak adalah untuk disayangi kerana ia penyambung zuriat dan bukannya tempat untuk melepaskan nafsu amarah.

Kesanggupan jiran tetangga yang mengetahui masalah penderaan ini untuk membuat laporan kepada polis atau pihak yang bertanggungjawab, juga bertepatan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Begitu juga dengan peranan guru di pelbagai peringkat sekolah.

Paling memberi kesan adalah pengaruh media massa dalam usaha menyampaikan maklumat tepat tentang masalah atau isu penderaan ini. Media haruslah memberi maklumat kepada masyarakat berkenaan dengan masalah ini dan kesannya jika ia diambil mudah serta kepentingan mendepani hal ini berlandaskan perspektif agama dan undang-undang.

Kanak-kanak haruslah juga didedahkan tentang penderaan ini, yang mana di peringkat sekolah sendiri seharusnya meletakkan satu bab dalam subjek-subjek tertentu untuk menyatakan apakah kewajaran yang harus dilakukan oleh kanak-kanak yang didera.

Pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan program atau kempen bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap ibu bapa serta penjaga agar mereka sedar permasalahan ini.

Pada masa sama, institusi keagamaan di setiap negeri haruslah meletakkan tajuk berkaitan pendidikan anak-anak di dalam kursus pra perkahwinan kepada bakal-bakal pengantin. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga.  

Di dalam Islam, anak-anak yang dilahirkan haruslah dijaga dan dipelihara dengan kasih sayang bukannya untuk didera. Tidak wujud istilah penderaan kanak-kanak, yang ada cuma istilah mendidik dengan kaedah yang digariskan oleh hukum syarak.

Pengisytiharan tugas yang dipikul sebagai khalifah dalam surah al-Baqarah ayat 30 menjelaskan secara khususnya tugas ibu bapa iaitu mentadbir keluarga yang terkandung di dalamnya anak-anak dengan sabar dan berhemah agar mereka kelak mendoakan kita.

Al-Quran dan sunah merupakan sumber terpenting dalam mencari penyelesaiannya. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak dan banyak lagi.

AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.

Muhammad Al-Hajjar dalam buku, Wahai Ibu Ajarkan Aku Solat Yang Benar, menjelaskan bagaimana cara seorang ibu menegur anaknya yang bernama Hasan apabila melakukan kesalahan, dan teguran ini wajarlah diaplikasikan terhadap anak-anak bukannya dengan cara mendera.

Manakala dalam buku Muhammad Hassan, Seorang Ibu Bukan Sebarangan Ibu, terbitan Dewan Pustaka Fajar menceritakan watak Rabiah iaitu seorang anak yang dididik sehingga dikagumi masyarakat. Antara tip yang diselitkan dalam kisah ini adalah ibu bapa haruslah bersabar dalam mendidik anak-anak dan melaksanakan pendidikan berlandaskan hukum yang ditetapkan oleh Islam.

Muhammad Abdul Rauf dalam buku, Wanita Dan Keluarga Dari Pandangan Islam, menekankan aspek kepimpinan suami atau bapa sebagai pelindung bukannya sebagai pendera, dan isteri atau ibu sebagai pembantu yang menyokong suami serta mendidik anak-anak. Kebajikan anak-anak juga adalah tanggungjawab ibu dan bapa serta penjaga agar mereka kelak melakukan perkara yang sedemikian kerana melihat contoh yang baik.

Kesimpulannya, cuba kita menghayati serta mendalami sepotong ayat dari surah Al-Nisa ayat 9 bermaksud: Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.

Kita fikirkanlah dengan mendalam semoga ayat ini tersemat di dalam hati sanubari setiap insan di atas muka bumi ini.

No comments:

Post a Comment