Friday, 26 October 2018

LARANG AMAL SIKAP EKSTRIM


Sebahagian masyarakat bukan Islam menganggap Islam agama yang mengajar keganasan, peperangan dan tindakan ekstrim. Sebab itu jika berlaku sesuatu tindakan keganasan di negara bukan Islam, maka masyarakat dunia terus menuduh perbuatan itu dilakukan oleh penganut Islam. 

Manakala itu, beberapa buah negara Islam telah dilabelkan oleh Barat sebagai paksi kejahatan yang dikenakan pelbagai sekatan dalam perniagaan global, bantuan ekonomi dan sebagainya.

Gambaran negatif terhadap umat Islam bertentangan dengan hakikat ajaran Islam yang sebenar. Sesungguhnya, Islam mementingkan kehidupan sejahtera dan selamat yang menjadi teras keindahan Islam. 

Malah maksud perkataan Islam itu sendiri bermakna sejahtera dan selamat untuk seluruh manusia dan isi alam ini. Piagam Islam menolak sebarang bentuk tindakan atau perbuatan yang mendatangkan kesan buruk. Ajaran Islam diturunkan kepada manusia bertujuan membawa rahmat ke seluruh alam.   

Sejarah telah membuktikan betapa Islam telah berjaya mengubah cara hidup manusia yang suka berperang kepada cintakan perdamaian. Nabi Muhammad telah berjaya menyatukan manusia di bawah satu bumbung akidah, keimanan dan matlamat hidup yang satu iaitu mencari keredaan Allah.

Islam menetapkan agar setiap penganutnya saling berkasih sayang, menghormati, tolong menolong dan mengelak sebarang bentuk perpecahan. Justeru, sesiapa yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya akan sentiasa mementingkan usaha mewujudkan keamanan dan perpaduan.

Sikap bermusuhan mendatangkan banyak keburukan kepada pihak yang terlibat dan kesannya turut terkena kepada pihak lain yang mempunyai hubungan secara langsung dan tidak langsung. Sebab itu perbuatan itu amat ditegah dalam ajaran Islam. 

Pihak yang terlibat dalam kancah permusuhan akan menggunakan banyak masa, tenaga dan fikiran kepada hal-hal yang bersangkutan dengan permusuhan itu. Ini secara tidak langsung mencetuskan konflik jiwa yang menjadi bebanan hidup sehingga tidak mampu lagi membezakan antara kebenaran dan kepalsuan.    

Memandangkan betapa buruknya kesan permusuhan, maka Islam menegah perbuatan yang bolah menimbulkan huru hara dan ekstrim daripada dilakukan oleh individu yang mengaku sebagai muslim.

Secara konsepnya, perbuatan yang tidak baik ditegah sama sekali dilakukan biarpun didakwa untuk kebaikan. Sesungguhnya sesuatu yang bertujuan untuk kebaikan hendaklah dilakukan secara yang hak.   

Ajaran Islam menetapkan setiap perkara yang ingin dilakukan hendaklah secara tertib, berhemah dan bebas daripada kesan keburukan. Amalan ekstrim yang tidak terkawal mudah membawa kepada kesan buruk.  

No comments:

Post a Comment