Apabila kena buang kerja atau berhenti
kerja (pencen atau mengambil keputusan berhenti), ada perkara yang perlu anda
fikirkan atau lakukan.
Apabila kena buang kerja, perkara
pertama yang berlaku ialah anda berasa lekeh dan rendah diri. Pastikan anda
terus berbangga dengan diri sendiri. Habiskan masa dengan buat kerja-kerja
komuniti seperti menjadi sukarelawan NGO atau masjid di mana peranan dan
sumbangan anda dihargai.
Sekiranya anda belum pernah buat
bisnes, usah habiskan wang simpanan untuk modal bisnes. Kemungkinan untuk
bisnes gagal dan habis wang simpanan terlalu besar. Elakkan sama sekali buat
pinjaman peribadi atau guna kad kredit sebagai modal bisnes.
Sekiranya nak berbisnes juga,
mulakan dengan menjual produk orang lain. Usah keluarkan produk sendiri. Ramai
usahawan keluarkan produk dan mereka tak ada orang nak menjual. Ambil komisen.
Dengan cara ini, anda tak keluarkan modal besar.
Satu lagi bisnes yang boleh dibuat
dan tidak melibatkan modal besar ialah perundingan atau consulting. Atau,
sediakan personalised service. Cuba senaraikan skil yang anda ada dan tawarkan
skil itu kepada individu, bisnes atau organisasi yang memerlukan skil itu.
Sekiranya anda ada simpanan dan
tidak memerlukan wang segera, tawar untuk uruskan bisnes orang lain tanpa gaji.
Anda dibayar setelah bisnes berkembang. Bayaran boleh dibuat dalam bentuk
tunggakan gaji, bonus atau agihan saham syarikat.
Mula downsizing (kecilkan) gaya
hidup anda. Kurangkan makan di luar. Sekiranya perlu, tukar kereta kecil.
Batalkan rancangan bercuti sehingga anda ada kerja lain.
Usah ungkit-ungkit keburukan tempat
kerja lama. Usah perli. Usah sindir. Sebut pun tak payah. Sekiranya anda rasa
stress kena buang kerja, orang yang buang anda lagi stress. Bukan mudah untuk
dia nak terima hakikat bahawa bisnes dia jatuh merudum dan terpaksa buang
pekerja.
Sentiasa jalin hubungan baik dengan
kakitangan dan pengurusan tempat kerja lama. Usah buatkan mereka terentak hati.
Dunia ini bulat. Mungkin suatu masa nanti mereka akan jadi majikan anda, anda
jadi majikan mereka, atau mereka jadi pelanggan atau vendor bisnes anda. Usah
bergaduh sekadar nak sedapkan hati.
Kalau tempat kerja anda kena tutup
dan itu punca anda diberhentikan, kenanglah bahawa anda adalah sebahagiaan yang
terakhir berkhidmat di situ. Berjuang sehingga yang terakhir.
Elak sebut-sebut kebaikan anda
kepada staf yang masih bekerja dengan harapan mereka akan tolong anda. Apabila
anda melangkah keluar pejabat untuk kali terakhir, usah pandang ke belakang
lagi. Mereka tak kisah pun jasa anda. Kalau mereka peduli sekali pun, mereka tak
dapat nak buat apa-apa. Pandang ke depan.
Cuba lihat pemberhentian kerja ini
secara positif. Ia berikan anda peluang menerokai bidang baru. Ia juga
menjadikan anda semakin berani menghadapi cabaran. Siapa tahu, masa depan anda
lebih cerah di luar!
Buktikan anda hebat dan tidak
sekali-kali putus asas dengan pemberhentian kerja. Melangkahlah dengan lebih
laju dan menuju kejayaan lebih cemerlang.
No comments:
Post a Comment