Soalan: Baru-baru ini saya ternampak
di KL ada yang memakai t-shirt I am Muslim and I follow Jesus. Adakah slogan
tersebut tepat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah
SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga
baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah
baginda SAW.
Isu ini memerlukan sedikit pencerahan
supaya masyarakat awam tidak terburu-buru menolaknya atau menerimanya tanpa
pemahaman yang baik. Kami bahagikan kepada beberapa poin penting:
Adakah Nabi Isa dan Jesus merupakan
individu yang sama?
Apakah bukti kita mengikuti Nabi ‘Isa?
Apakah bukti kita mengikuti Nabi ‘Isa?
Nabi Isa adalah nama yang digunakan
dalam al-Quran manakala jika kita meneliti terjemahan al-Quran dalam Bahasa
Inggeris oleh penterjemah seperti Abdullah Yusuf Ali, A.J. Arberry, Marmaduke
Pickthall dan lain-lain kesemuanya menterjemahkan Nabi Isa sebagai Jesus.
Al-Quran menyebutkan tentang Nabi Isa
dalam 71 ayat dan Islam mengiktiraf Nabi Isa sebagai seorang hamba-Nya, Nabi
dan juga Rasul yang wajib diimani. Walaupun konsep ini berbeza dengan pegangan
Kristian, ia tidak menafikan bahawa Nabi Isa dan Jesus adalah individu yang
sama.
Mungkin ada yang berpandangan bahawa
Nabi Isa dan Jesus adalah individu berbeza kerana nama Jesus berasal dari
Bahasa Ibrani (Hebrew) iaitu Yeshua. Jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab,
ianya adalah Yashu dan perkataan Yashu tidak ditemui dalam al-Quran.
Jawapannya, al-Azhari menyatakan
bahawa Nabi Isa adalah nama bukan Arab (ajam) yang tidak mempunyai tasrif
(morphology) kerana ketiadaan marifah dan bercampur antara nama ajam dan adanya
marifah padanya.
Nama Nabi Isa adalah dialihbahasa
daripada Aisu sebagai pandangan pakar bahasa Suryani (Syriac). (Lihat Tahzib
al-Lughah, 3/60-61). Menurut al-Jauhari, Nabi Isa adalah nama Ibrani atau
Suryani. (Lihat al-Sihhah, 3/955).
Manakala lafaz Nabi Isa dalam Bahasa
Suryani adalah Yashu. (Lihat al-Kasysyaf, 1/188). Hujah-hujah lain yang
menafikan persamaan keduanya adalah tidak jelas. Justeru, Nabi Isa dan Jesus
adalah individu yang sama.
Ketikamana Nabi Isa masih bayi,
Baginda diberikan mukjizat untuk berkata-kata. Baginda menjelaskan: Maksudnya:
Ia menjawab: "Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan
kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia
menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan
diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.
Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak
menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala
keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan
dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada
hari kiamat)". (Surah Maryam: 30-33)
Allah SWT menegaskan: Maksudnya:
“Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam
perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah
melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang
pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan
(ia juga tiupan) roh daripadaNya.” (Surah al-Nisa: 171)
Muslim Mengikut Nabi ‘Isa?
Ya, sememangnya sebagai umat Islam
kita mempercayai bahawa akidah daripada Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad adalah
sama. Kesemuanya membawa ajaran tauhid yang sama iaitu mengEsakan Allah SWT.
Tidak beriman seorang Muslim sekiranya tidak beriman dengan Nabi Isa.
Seruan utama Nabi Isa kepada Bani
Israel adalah menyembah Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa. Baginda menyatakan: Maksudnya:
"Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah
kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus".
Ibn Kathir menjelaskan inilah perintah
Nabi Isa kepada kaumnya ketika Baginda masih dibuaian untuk menjelaskan kepada
mereka bahawa Allah SWT adalah Tuhan mereka dan Tuhannya. (Tafsir al-Quran al-Azim,
5/231)
Disamping itu, penelitian terhadap
Bible juga menunjukkan beberapa persamaan tentang apa yang dilakukan oleh Nabi Isa
yang juga dilakukan oleh umat Islam. Antaranya adalah: Lelaki Muslim berkhatan
dan Nabi Isa juga berkhatan On the eighth day, when it was time to circumcise
the child, he was named Jesus, the name the angel had given him before he was
conceived. (Luke 2: 21)
Ucapan Assalamualaikum. While they
were still talking about this, Jesus himself stood among them and said to them,
Shalom Aleichem (Peace be with you).” (Luke 23: 36)
Justeru, apa yang dilakukan oleh Nabi Isa
juga dilakukan oleh umat Islam sehingga sekarang. Ajaran tauhid yang dibawa
oleh Nabi Isa juga tidak berbeza dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW
dan diikuti oleh umat Islam. Oleh itu, ini bermaksud kita umat Islam mengikut
Nabi Isa baik dari beberapa sudut perlakuannya dan juga akidahnya.
Malah, umat Islam beriman bahawa pada
akhir zaman nanti Nabi Isa akan turun dan mentadbir dengan syariat yang telah
dibawa oleh Nabi Muhammad kerana Baginda merupakan pengikutnya. Nabi Isa tidak
diutuskan dengan sebuah syariat yang baru akan tetapi Baginda merupakan salah
seorang pemimpin bagi umat ini yang akan memperbaharui seruan Islam kerana
agama Islam ialah penutup bagi segala agama dan tidak ada Nabi yang akan
diutuskan selepas Nabi Muhammad SAW.
Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya:
“Bagaimana keadaan kalian apabila Isa putera Maryam turun pada kalian dan
menjadi pemimpin kalian?” Lalu aku berkata kepada Ibnu Abu Zib bahwa al-Auzaie
telah menceritakan kepada kami, dari az-Zuhri dari Nafi’ dari Abu Hurairah,
“Pemimpin kalian adalah dari kalian.” Ibnu Abu Zib berkata, “Apakah kamu tahu
sesuatu apa (yang dijadikan dasar) memimpin kalian?” Aku balik bertanya,
“Apakah kamu akan mengkhabarkannya kepadaku?” Ibnu Abu Zib berkata, “Dia akan
memimpin kalian berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Nabi kalian SAW. (Riwayat
Muslim, no. 246)
Berdasarkan kenyataan di atas, kami
menyimpulkan bahawa slogan I am Muslim and I follow Jesus tidaklah bersalahan
dengan akidah Islam bahkan ia sebenarnya mencetuskan kepada satu perbincangan
ilmiah yang baik antara penganut Islam dan Kristian.
Kami juga mendapat makluman yang ianya
adalah usaha dakwah yang dilakukan oleh aktivis Islamic Education and Research
Academy (iERA) yang berpengkalan di United Kingdom dan mempunyai cawangan di
seluruh dunia termasuk Malaysia.
Nabi Isa adalah antara Nabi yang
istimewa dalam Islam kerana digolongkan dalam Ulul Azmi malah nama ibunya
Maryam juga dirakamkan dalam surah yang khusus dalam al-Quran. Cuma, kami
mencadangkan ia diperincikan menjadi I am Muslim and I follow Jesus as my
Prophet. Ini kerana, inilah pendirian kita selaku umat Islam yang tidak
mengiktiraf Isa sebagai Tuhan ataupun anak Tuhan.
Kami berpendirian sebagaimana yang
dinyatakan oleh Jafar bin Abu Talib kepada Raja Najasyi berkenaan Isa bin
Maryam. Dikisahkan Raja Najasyi yang beragama Kristian pernah bertanya kepada
Jafar berkenaan ajaran Rasulullah SAW. Lalu Jafar menceritakan satu persatu
sehinggalah apabila beliau membaca Surah Maryam ayat ke-14, Raja Najasyi
menitiskan air mata.
Baginda bertitah: “Sesungguhnya, agama
yang dibawa oleh nabi kalian dan agama kami berasal dari sumber yang satu.”
Ditanya lagi: ”Apa yang kalian katakan
tentang Isa bin Maryam, dan juga tentang ibunya?”
Jafar ibn Abi Talib menjawab,”Kami
mengatakan sebagaimana Allah berfirman,Isa adalah manusia (yang diciptakan oleh
Allah dengan) kalimat dan roh dari Allah yang disampaikan kepada Maryam,
seorang gadis perawan yang tidak pernah disentuh manusia’.”
Mendengar jawapan ini, Raja Najasyi
mengangkat sebuah tangkai kayu dari atas tanah, lalu baginda berseru: “Wahai
orang-orang Habsyah! Wahai para pendeta! Demi Allah! Mereka tidak menambahkan
perkataan apapun pada keyakinan kita tentang Isa. Kami mengucapkan selamat
kepada kalian dan kepada orang yang mengutus kalian. Aku bersaksi, bahawa dia
adalah Rasulullah. Dialah orang yang kami temukan di dalam kitab Injil. Dialah
rasul yang dikabarkan oleh Isa bin Maryam. Tinggallah kalian di manapun yang
kalian inginkan! Demi Allah, kalau bukan kerana kekuasaan yang ada padaku, maka
sungguh aku datangi dia (Rasulullah), sehingga aku menjadi orang yang
membawakan sandalnya. (Lihat Sirah Nabawiyyah, 2/10)
Semoga kehidupan bermasyarakat di
Malaysia yang berbilang kaum dan agama dapat terus dimaknai dengan harmoni dan
kasih sayang.
Sumber:
No comments:
Post a Comment