Sunday, 9 December 2018

JANJI MANIFESTO WAJIB DITUNAI


Janji ialah penyataan untuk melakukan sesuatu pada masa akan datang. Menetapi atau menunaikan janji ialah melakukan apa yang dijanjikan.

Manifesto pula ialah pengumuman mengenai dasar, tujuan atau polisi parti politik. Ia bermaksud satu penyataan apa yang akan dilakukan jika memenangi sesuatu pilihanraya.

Persoalannya adakah manifesto itu boleh disamakan dengan janji? Ada yang mengatakan manifesto bukan janji. Jadi, manifesto tidak perlu ditunaikan dan tidak terikat dengan apa yang dikatakan menunaikan janji bagi maksud sebagai seorang Islam yang amat menuntut agar setiap janji ditunaikan.

Kalau manifesto bukan janji, apa tujuan dibuat manifesto? Rakyat yang memilih sesuatu parti berdasarkan manifesto yang diberikan yang dianggap sebagai satu perkara yang akan dilakukan jika menang pilihanraya.

Jika sesuatu akan dilakukan pada masa akan depan, yakni jika menang pilihanraya, maka itu telah termasuk dalam erti janji. Begitu juga dengan kontrak yang membawa maksud pihak-pihak yang terlibat untuk mematuhi perkara yang dipersetujui.

Seperti seorang suami yang melakukan akad nikah menikahi seorang wanita, sebenarnya telah terkandung 'janji' untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami. Tidak perlu dia menyatakan apa-apa yang ingin dilakukan kerana 'apa-apa' itu sudah termasuk dalam maksud tanggungjawab yang secara umumnya difahami ramai.

Jadi, begitu juga manifesto, biarpun tidak disebut sebagai janji, ia sudah membawa maksud bahawa sesuatu perkara yang akan dilakukan jika menang pilihanraya yang sekaligus bermaksud satu janji.

Berjanji adalah harus, menetapi janji adalah wajib. Oleh sebab itu, tidak mengotakan janji yang telah dipersetujui bererti haram dan mungkar di sisi Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad janji itu.” (Surah Al-Maidah, ayat pertama)

Dalam surah yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah (mu) itu sesudah meneguhkannya, sedang kamu sudah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpah itu).” (Surah An-Nahl, ayat 91)

Janji tetap janji dan wajib ditepati bila tiba tempoh yang dijanjikan, melainkan janji untuk membuat sesuatu yang dilarang syariat, atau terdapat hal yang lebih baik dibandingkan dengan janji yang dibuatnya, atau tidak dapat ditunaikan kerana sakit, pengsan, hilang akal, atau keuzuran lain yang diharuskan syarak.

Melanggar atau meremehkan janji sama halnya dengan meremehkan hukum syarak, dan merupakan sebahagian tanda-tanda orang munafik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga keadaan. Jika ia berkata ia berdusta, jika ia berjanji ia mengingkari, dan apabila diberi amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Perbuatan memungkiri janji akan memberikan implikasi yang buruk kepada pihak-pihak yang terlibat. Misalnya, boleh merenggangkan hubungan persahabatan yang terjalin, hilang rasa hormat dan menghargai antara satu sama lain, berlaku perselisihan faham, hilang keyakinan serta kepercayaan antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment