Saturday, 8 December 2018

BANGKIT MELAYU PERTAHAN HAK

Jumlah peserta Himpunan Ummah bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara pada 8 Dis 2018 mencecah ratusan ribu orang.

Ribuan peserta yang berarak dari segenap lokasi berhimpun menuju ke Dataran Merdeka juga, melaungkan ungkapan takbir, selawat Nabi dan nyanyian lagu - Inilah Barisan Kita, bagi membangkitkan semangat.

Perhimpunan itu dilihat sebagai antara siri-siri kebangkitan Melayu Islam dalam pertahankan hak setelah pelbagai perkara yang dilihat semakin menggugat apa yang dinikmati selama ini.

Seperkara penting yang perlu diberi perhatian ialah keikhlasan. Mereka perlu menginsafi kesilapan yang pernah dilakukan dan bersikap jujur untuk sama-sama memainkan peranan mengeratkan perhubungan sesama Melayu.

Adalah menjadi harapan agar perhimpunan itu tidak berhenti di situ sahaja. Ia sepatutnya menjadi pemangkin menggerakkan semangat kebangkitan Melayu, agar bangsa Melayu dapat bergerak untuk sama-sama memaju dan memakmurkan kehidupan masyarakat Melayu.

Bangsa Melayu sebenarnya mempunyai tanggungjawab penting menentukan masa depan dan hala tuju negara. Perpaduan Melayu akan menguatkan lagi pengaruh dan peranan orang Melayu di negara ini.

Sehubungan ini, nasionalisme Melayu yang dijadikan dasar perpaduan Melayu adalah dasar yang boleh diterima Islam, selagi dasar dan perpaduan ini tidak menafikan hak asasi umat Islam lain dan juga bangsa lain yang menjadi sebahagian rakyat negara kita.

Kita tidak mahu anak cucu kita mengemis di tanah air sendiri dek kerana kesilapan kita pada hari ini.

Pemikiran orang Melayu banyak dibentuk oleh resam dan budaya Melayu itu sendiri yang dilihat menjadi punca kenapa kita masih ketinggalan jauh dari sudut ekonomi, dan hari ini kuasa politik Melayu juga kian terhakis. Jika orang Melayu masih lagi bersikap “acuh tak acuh”, Melayu kelak hanya tinggal nama sahaja.

Lantaran itu usaha mengubah budaya pemikiran Melayu baharu bagi menggantikan pemikiran Melayu yang sudah dianggap tidak sesuai dalam dunia yang penuh persaingan ini. Pokok pangkalnya kita harus bermula. Mungkin ini satu permulaan.

Permulaan bersatu dan meninggalkan perbalahan politik dan ideologi yang selama ini menjadi punca kelemahan Melayu. Melayu akan kuat jika bersatu. Perlu menarik lebih ramai lagi Melayu untuk bersama-sama bangkit mempertahankan hak Melayu dan Islam yang dirodak dan dicarit-carit oleh pihak yang mendakwa membina Malaysia Baru. 

No comments:

Post a Comment