Saturday, 19 January 2019

BUKIT MARAS KUALA NERUS LOKASI HIKING PILIHAN

Bukit Maras dengan ketinggian 330 meter yang terletak di Kuala Nerus, Terengganu kini menggamit kudrat mereka yang gemar aktiviti rekreasi santai, bukan sahaja dari penduduk setempat, juga dari seluruh negara.

Jarak Bukit Maras dari Kuala Terengganu hanya kira-kira 22 kilometer dan keadaan jalan raya yang elok memudahkan ia untuk dikunjungi.  

Sebelum ini, Bukit Maras sekadar dikenali sebagai sebuah bukit yang tidak membawa apa-apa keistimewaan. Jauh sama sekali mendapat perhatian penduduk, melainkan penduduk yang mempunyai dusun di kaki bukit dan mereka yang mencari hasil hutan di situ.

Namun kini, Bukit Maras semakin dikenali sebagai lokasi kembara berjalan kaki (hiking) atau pendakian, selari dengan minat orang ramai untuk menjadikan pendakian bukit berketinggian bawah 500 meter yang semakin berkembang menjadi budaya baru masyarakat di seluruh Malaysia.

Menyedari perkara itu, kerajaan Terengganu telah mengadakan perancangan untuk menjadikan Bukit Marah menjadi lokasi hiking dan juga aktiviti luncur udara (paragliding).

Keindahan panorama sisi hutan, tanaman, perkampungan dan laut yang jelas terpapar sayup di kejauhan mampu menjadikan lokasi yang agak terpencil ini sebagai tarikan pelancongan baharu di negeri Terengganu.

Bukit Maras kini dalam perhatian Pejabat Daerah Kuala Nerus untuk disenaraikan dalam produk pelancongan. Keistimewaan yang dimiliki bukit ini mampu menjadi pakej untuk mempromosikan budaya dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Dengan pendakian mudah ke puncak mengambil masa antara 30 minit hingga satu jam, melibatkan jarak 1.6 kilometer dari kaki bukit berhampiran padang bola, pengunjung boleh menyusur beberapa gua dan dua anak sungai sebelum sampai ke puncak.

No comments:

Post a Comment