Tuesday, 12 February 2019

SEJARAH TRAGEDI PEMBINAAN JALAN RAYA TIMUR BARAT

Pengorbanan anggota tentera dan polis sinonim berdepan dengan ancaman komunis. Jarang sekali kita mengetahui mengenai pengorbanan pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) berdepan ancaman komunis.

Antara yang tersimpan dalam lipatan sejarah ialah pengorbanan pekerja JKR dalam pembinaan Jalan Raya Timur Barat.

Terdapat satu tugu atau taman peringatan dibina untuk mengenang peristiwa perit gentir mereka membina dan menyiapkan Jalan Raya Raya Timur Barat yang menghubungkan Jeli di Kelantan dengan Gerik di Perak.

Tugu itu terletak kira-kira 11 kilometer dari Grik dan 99 kilometer dari Jeli. Di taman peringatan itu terdapat papan maklumat yang berbunyi:

`Pengorbanan Dalam Kenangan Jalan Raya Timur Barat (1970-1982)’.

“Jalan Raya Timur Barat (Gerik-Jeli) telah dibuka pada lalu lintas pada 1 Julai 1982. Banyak nyawa telah terkorban semasa kerja pembinaan dilaksanakan mulai tahun 1970. Ada yang terkorban semasa kemalangan di tempat kerja dan ada yang diserang oleh pengganas komunis.

“Di lokasi ini 63 buah mesin jentolak tanah telah diletupkan oleh pengganas komunis pada 23 Mei 1974. Di lokasi ini juga tiga nyawa pekerja JKR telah terkorban dan beberapa lagi cedera dalam serangan pengganas pada 27 Ogos 1974.

Beberapa serangan lain juga telah berlaku di sepanjang jalan raya yang melibatkan pekerja JKR dan anggota pasukan keselamatan. Kita memperingati semua yang telah berkorban nyawa bagi menjayakan pembinaan Jalan Raya Timur Barat ini. Sila sedekahkan al-fatehah kepada orang-orang yang terkorban di sini.”

No comments:

Post a Comment