Banyak ayat al-Quran dan hadis yang
menyuruh manusia berfikir. Suruhan tersebut sesuai dengan kejadian
manusia yang dibekalkan akal fikiran. Allah menjadikan manusia sebagai
sebaik-baik kejadian.
Di antara ayat al-Quran menyebut
mengenai berfikir ialah firman-Nya bermaksud: “Maka apakah kamu tidak
menggunakan akal?” - (Surah al-Anam, ayat 32). Firman-Nya lagi: “Maka apakah
mereka tidak memikirkannya?” - (Surah Yasin, ayat 68).
Rasulullah juga banyak menunjukkan
contoh tertentu pentingnya berfikir. Selalunya Baginda apabila bersama-sama
para sahabat sentiasa bertanya atau menduga fikiran sahabat. Baginda kerap
menanyakan seorang seperti tahukah, inginkah, bolehkah atau siapakah apabila
ingin menyatakan sesuatu perkara.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tahukah
kamu kepada siapa api neraka itu diharamkan?” Lalu sahabat menjawab: “Allah dan
Rasul-Nya sahaja mengetahuinya.” Baginda kemudian menjelaskan dengan sabda
bermaksud: “Kepada orang yang berlemah lembut, mudah dalam segala hal, senang
berurusan dengannya dan sentiasa dekat kepada sesiapa pun.” - (Hadis riwayat
Tarmizi dan Ibnu Masud).
Soalan dikemukakan Rasulullah itu
lebih bermaksud menggalakkan umatnya menggerakkan akal untuk memberikan
jawapan, pendapat dan keputusan. Apabila soalan dikemukakan, ia bermakna
memerlukan gerakan minda untuk menjawabnya.
No comments:
Post a Comment