Thursday, 7 February 2019

KAJIAN MATAN KENAL HADIS PALSU

Terdapat kaedah untuk mengenal hadis palsu. Salah satu kaedah ialah melalui kajian matan. Matan ialah perkataan atau maksud sesuatu hadis.

Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyah telah menjelaskan secara jelas dan terperinci ciri-ciri mengenal pasti hadis palsu melalui kitabnya 'al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dhaif'. Tulisan ini amat bermakna bagi kita dan boleh membantu kita menilai matan-matan hadis palsu.

Antara kaedah pengecaman bagi hadis-hadis palsu adalah sebagaimana dalam senarai berikut:
- Matan hadis bercanggah dengan nas al-Quran.
- Matan hadis bercanggah dengan nas hadis yang sahih.
- Matan hadis mengandungi sesuatu yang mustahil dan ditolak oleh akal yang waras.
- Terdapat unsur-unsur yang janggal dan keterlaluan yang membuktikan ia bukan dari hadis Rasulullah SAW.
- Perasaan yang benar boleh mengesani kepalsuan dan menolaknya (khusus untuk pakar hadis)
- Matan mengandungi perkara-perkara yang buruk dan bahan ketawa.
- Matan hadis jelas bercanggah dengan al-Sunnah al-Sahihah. Maka, mana-mana hadis yang menjurus kepada maksud menyanjung kebatilan atau mencaci kebatilan atau seumpamanya tiada kaitan dengan sabda Rasulullah.
- Matan hadis yang bermaksud menuduh Nabi SAW melakukan sesuatu perkara yang zahir dihadapan semua sahabat dan semua sahabat bersetuju untuk merahsiakannya tanpa menyampaikan kepada orang lain.
- Matan hadis itu sendiri mengandungi kebatilan yang membuktikan bahawa ia bukan dari kata-kata nabi SAW
- Matan hadis tidak menyerupai kata-kata para Nabi SAW.
- Matan hadis menyebut tarikh-tarikh tertentu bagi peristiwa yang berlaku.
- Matan hadis lebih mirip kepada nasihat dan pandangan tabib atau doktor.
- Hadis-hadis berhubung kelebihan akal.
- Hadis-hadis yang menyebut al-Khadhir masih hidup.
- Hadis-hadis yang ditolak oleh dalil-dalil yang sahih (syawahid sahihah)
- Hadis berhubung fadhilat solat pada siang dan malam hari dalam seminggu. begitu juga hadis-hadis yang berkaitan solat al-Raghaib yang dilakukan pada malam jumaat pertama di awal bulan Rejab.
- Hadis-hadis  berhubung fadilat solat Malam Nisfu Syaban.
- Lafaz hadis lemah dan janggal, tidak senang didengar oleh telinga dan ditolak secara tabie
- Hadis-hadis yang menghina warga Habshah, Sudan, Turki, al-Khusyan dan golongan al-Mamalik.
- Terdapat qarinah (tanda) yang menunjukkan hadis tersebut adalah batil.
- Hadis-hadis berkenaan kelebihan burung merpati.
- Hadis-hadis berhubung kelebihan memelihara ayam.
- Hadis-hadis yang menghina anugerah anak
- Hadis-hadis kelebihan bercelak, berhias dan bersolat pada hari 'Asyura'. Yang ada hanyalah galakan berpuasa pada hari tersebut.
- Hadis-hadis yang menyebut kelebihan surah-surah tertentu serta ganjaran orang yang membacanya dari awal surah sehingga akhirnya.
- Hadis-hadis berhubung kelebihan Abu Bakar yang dipalsukan oleh golongan yang jahil seperti hadis yang menyebut apabila Allah mencipta roh, maka Allah memilih roh Abu Bakar, juga hadis yang memberitakan Allah bertajalli kepada Abu Bakar pada hari kiamat secara khusus.
- Hadis-hadis berhubung kelebihan Ali bin Abi Talib yang dipalsukan oleh puak Rafidhah atau Syiah.
- Hadis-hadis berhubung Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafi yang menyebut nama kedua-duanya dengan jelas. Begitu juga hadis yang mencela mereka berdua.
- Hadis-hadis yang menyebut iman bertambah dan berkurang dan sebaliknya, semuanya adalah palsu, bukan hadis yang bersumberkan Rasulullah SAW. Walau bagaimana pun kata-kata itu adalah benar dari sudut maknanya dan merupakan ijmak ulama salaf.

No comments:

Post a Comment