Orang Melayu telah lama menghabiskan
masa dan kekayaan semata-mata untuk mengalahkan sesama sendiri. Demi perjungan
yang dianggap murni, orang Melayu sanggup putus persaudaraan dan ada suami
isteri bercerai semata-mata kerana berlainan fahaman politik.
Politik keterlaluan orang Melayu
menyebabkan sembahyang dua imam, tanah kubur berasingan, akad nikah dua kali
kerana anggap akad nikah tidak sah kerana jurunikah atau wali berlainan fahaman
politik.
Keterbukaan dan keikhlasan untuk
mengaku kesilapan lalu adalah ajaran Islam dan kesediaan untuk melalui fasa
baharu dalam menyantuni politik Malaysia yang penuh ukhwah dan persaudaraan
adalah ajaran Islam juga. Sama-sama kita berdoa yang terbaik untuk umat Melayu
dan umat Malaysia dalam praktis politik.
Islam memberi garis panduan dalam
amalan politik iaitu dibolehkan untuk berbeza pandangan dalam beberapa perkara
iaitu furuiyyah Ijtihadiyyah iaitu masalah cabang yang ada ruang untuk berbeza
pendapat.
Contohnya dalam urusan pentadbiran,
ekonomi dan sosial. Perbezaan itu pula yang tidak menimbulkan perpecahan dan
permusuhan sesama Islam.
Jangan kerana mahu mengejar kuasa kita
sanggup mengamalkan politik tidak beretika kerana matlamat sesekali tidak
menghalalkan cara walaupun bertujuan baik.
Sebaliknya, umat Islam perlu
mengamalkan politik dakwah iaitu bukan sahaja inginkan kuasa atau kemenangan
semata-mata, tetapi dalam masa sama menjadi pemimpin yang berkongsi nilai murni
sesama umat Islam dan bukan Islam.
Konsep dakwah itu luas, bukan
menyebarkan ajaran agama secara langsung sahaja, tetapi dalam setiap perkara
kita boleh menunjukkan kebaikan Islam dan melakukan perubahan daripada buruk
kepada baik serta baik kepada lebih baik.
Apabila berlainan parti politik,
bermakna ia berkaitan berlainan ideologi politik. Dalam konteks ini, tidak kira
pemimpin mahupun penyokong hendaklah mengamalkan politik matang. Walaupun
berlainan ideologi, kita perlu akui jika cadangan atau pelaksanaan itu betul
demi memastikan kestabilan dan keselamatan rakyat, serta paling utama ialah selari
dengan syariat Islam.
Islam tidak menghalang perbezaan
pendapat namun ada adab-adab yang perlu dipatuhi agar tidak membawa kesan lebih
buruk. Tidak semua perkara yang diusulkan parti lawan perlu ditolak, jika benar
kita perlu terima. Wujudnya sikap politik matang ini dalam kalangan ahli
politik pasti akhirnya akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
No comments:
Post a Comment