Adalah wajar jika
ada pihak membina tugu memperingati sejarah Perang Dunia Kedua yang mana negara
kita terlibat secara langsung. Namun, adalah tidak wajar jika tugu itu
bertujuan untuk memperingati 'wira tentera Jepun'.
Sejarah
mencatatkan tentera Jepun bertindak kejam terhadap rakyat Tanah Melayu
sepanjang pendudukan tentera Jepun. Itu adalah sejarah yang tidak wajar diubah
walau dengan apa alasan sekalipun.
Kalaupun ingin
mewujudkan keamanan sejagat atas dasar sekarang, tidak wajar diubah catatan
sejarah. Yang perlu dipupuk sekarang ialah sikap memaafkan dan menerima Jepun
sebagai rakan.
Lupakan kisah
lalu, tetapi bukan mengubah sejarah sehingga mengangkat tentera Jepun sebagai
wira. Kalau Jepun ingin mengangkat tentera mereka sebagai wira, buatlah di
negara Jepun.
Umum mengetahui
negara kita antara lokasi yang menjadi medan peperangan ketika Perang Dunia
Kedua. Malah negara kita menjadi antara lokasi pertama berlaku pertempuran
menandakan bermulanya Kempen Perang Dunia Kedua pada 8 Disember 1941 yang
melibatkan Kuasa Paksi dan Kuasa Berikat.
Kuasa Paksi
adalah gabungan kuasa ketenteraan melibatkan Jerman, Itali dan Jepun. Makanaka
Kuasa Berikat pula terdiri British, Amerika Syarikat dan beberapa buah negara
lain.
Tanah Melayu
menjadi pilihan Jepun disebabkan dasar Asia Raya yang dilaungkan oleh Jepun,
yakni Asia Untuk Orang Asia. Jepun berusaha membebaskan negara-negara di Asia
daripada penjajahan Barat. Tanah Melayu yang berada di tangan British mesti
diberi keutamaan untuk dibebaskan. Tambahan, British adalah pihak lawan dalam
Pihak Berikat.
Negara Thailand
yang tidak dijajah oleh mana-mana kuasa tidak diserang oleh Jepun. Sebab lain,
Thailand memberi kerjasama membenarkan kawasan negaranya dijadikan laluan untuk
Jepun menyerang Tanah Melayu.
Tentera Jepun
mendarat di Patani dan Singgora (Songkala) di Selatan Thailand, sebelum mara
menyerang ke utara Tanah Melayu meliputi Perlis dan Kedah, seterusnya bergerak
ke selatan.
Manakala itu,
negeri Kelantan tercatat dalam sejarah sebagai tempat pertama meletusnya Perang
Dunia Kedua di negara kita, bahkan juga di dunia. Pertempuran di Kelantan
adalah kira-kira 95 minit lebih awal daripada pertempuran di pengkalan angkatan
laut Amerika Syarikat di Pasifik, iaitu Pengkalan Pearl Harbour di Kepulauan
Hawai.
Kenyataan
menyatakan Pearl Harbour terlebih dahulu dibom berbanding Kota Bharu ada
berdasarkan waktu tempatan di sana, iaitu 8.00 pagi pada 7 Disember 1941.
Sedangkan sebenarnya jika waktu itu “disamakan”, peperangan yang meletus di
Kota Bharu adalah lebih awal.
Pantai Pak Amat
atau kini lebih dikenali Pantai Sabak dan sekitar kawasan Pulau Panjang
merupakan tempat pertama pendaratan tentera Jepun di Tanah Melayu dan menjadi medan
pertempuran yang amat dahsyat.
Tentera Jepun
mula menyerang dan mendarat di Pantai Sabak pada 8 Disember 1941, kira-kira jam
pukul 1.15 pagi. Seramai 5,300 orang tentera Jepun yang dikenali Detasemen
Takumi yang dipimpin Mejer Jeneral Takumi terlibat dalam serangan
tersebut.
Detasemen
tersebut terdiri Rejimen Ke 56 Infantri, satu bateri meriam, dua laras meriam
tembak cepat, satu bateri meriam anti pesawat, satu kompeni jurutera, satu
seksyen semboyan dan satu seksyen bantuan perubatan. Detasemen tersebut turut
dilengkapkan dengan satu hospital medan.
Detasemen Takumi
adalah sebahagian kekuatan daripada Ketumbukan ke 25 pimpinan Leftenan Jeneral
Yamashita yang dipertanggungjawabkan untuk menakluki Malaya.
Anggota
ketumbukan tersebut menaiki kapal perang Awagisu Meru, Ayatosan Meru dan Sakura
Meru dengan diiringi oleh empat buah kapal lain. Ketika kapal-kapal tersebut
berada kira-kira dua kilometer menghampiri pantai, telah ditembak oleh meriam
dan kapal terbang perang tentera British sehingga musnah.
Ketika kapal
mereka hampir tengelam, sebahagian tentera telah berjaya diturunkan menaiki
bot-bot kecil. Selebihnya terpaksa terjun ke laut dan berusaha berenang ke
pantai. Pun begitu, mereka telah dibekalkan dengan pelampung getah.
Pendaratan tentera
Jepun telah ditentang hebat oleh tentera British berketurunan Punjab yang
berada dalam kubu kebal di tepi pantai. Tentera Jepun terpaksa membina kubu
sementara dengan menggali pasir pantai menggunakan tangan hingga paras bahu.
Pergerakan agak terbatas kerana waktu malam yang gelap.
Jadi, tentera
Jepun terpaksa menghentikan sementara pergerakan menuju ke darat, menunggu
waktu siang. Selain halangan tembakan, serangan tentera Jepun berhadapan
rintangan kawat berduri dan periuk api yang dipasang tentera British. Banyak
tentera Jepun terkorban akibat letupan periuk api di sepanjang kawasan
pantai.
Pertempuran di
tepi pantai berlangsung sepanjang hari mengakibatkan seramai 320 orang tentera
Jepun terbunuh dan 538 orang lagi mengalami kecederaan. Bagaimanapun, tentera
Jepun memperoleh kejayaan besar mendarat di situ.
Pendaratan di
Pulau Panjang dan Pantai Pak Amat adalah bertujuan memudahkan menguasai
Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang menjadi pengkalan pertahanan udara utama
tentera British. Banyak pesawat tempur British ditempatkan di Lapangan Terbang
Pengkalan Chepa.
Setelah mendarat,
tentera Jepun terus mara dan menguasai Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang
terletak kira-kira tiga kilometer dari Pantai Sabak pada pukul 8.00 malam,
iaitu kira-kira tujuh jam 45 minit selepas mendarat.
Bandar Kota Bharu
pula berjaya ditawan pada pukul 2.00 petang keesokan harinya. Sebelum berjaya
menawan Kota Bharu, tentera Jepun terpaksa berdepan dengan tentangan hebat
tentera British yang mempertahanan di sepanjang Jalan Pengkalan Chepa, Jalan
Tok Hakim, Jalan Temenggong dan Jalan Padang Garong.
Setelah menguasai
Kota Bharu, tentera Jepun terus mara ke selatan dan sedikit demi sedikit terus
menguasai Tanah Melayu hingga ke Johor Bharu pada 31 Januari 1942, iaitu
selepas 54 hari mendarat di Kelantan.
Pergerakan
tentera Jepun dari satu kawasan ke kawasan ke selatan mengguna basikal.
Penggunaan basikal lebih mudah walaupun kebanyakan jambatan telah dibom oleh
tentera British ketika proses berundur ke selatan.
Tentera Jepun
berjaya mendarat di Singapura pada 8 Febuari 1942 untuk mengalahkan tentera
British yang masih bertahan di pulau tersebut. Kisah keberanian Leftenan Adnan
menentang tentera Jepun di Bukit Candu, Pasir Panjang, Singapura adalah antara
pertempuran terakhir sebelum British secara rasmi menyerah kalah.
Pada 15 Febuari
1942, Komandan tentera British, Leftenan Jeneral A.E. Percival secara rasmi
mengaku kalah kepada Jepun yang diketuai Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita.
Ini bermakna seluruh Tanah Melayu, termasuk Singapura yang sebelum itu dikuasai
British jatuh ke tangan tentera Jepun dalam misi peperangan selama 70 hari.
No comments:
Post a Comment