Saturday, 17 August 2019

LARANGAN MENJUAL DI LUAR PAGAR SEKOLAH

Situasi semasa di kebanyakan sekolah menunjukkan bahawa murid sekolah terdedah kepada pemakanan yang tidak sihat ketika berada di sekolah.

Makanan dan minuman kurang berkhasiat dengan tinggi kandungan gula, lemak dan garam seperti minuman berperisa berkarbonat, minuman kordial, aiskrim, jeruk, makanan ringan, nugget goreng dan burger mudah didapati daripada peniaga yang menjaja di luar pagar sekolah.

Makanan sedemikian adalah salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan prevalen obesiti di kalangan kanak-kanak.

Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet bagi Persekitaran Hidup Yang Sihat (JKPHS) Siri 1, Bil.1/2011 pada 4 April 2011 telah bersetuju supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyelaraskan pelaksanaan undang-undang kecil berkaitan garis panduan penguatkuasaan bagi larangan penjualan makanan dan minuman di luar pagar sekolah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ini bertujuan untuk mengurangkan kemudahdapatan dan kemudahcapaian makanan serta minuman yang dikategorikan tidak sihat. Selain daripada itu, pelaksanaan garis panduan ini akan memastikan makanan dan minuman yang dibenarkan dijual adalah bersesuaia

Secara dasarnya, penjualan makanan dan minuman di dalam lingkungan 40 meter dari pagar sekeliling sekolah adalah dilarang bagi semua penjaja statik, penjaja beredar dan penjaja sementara.

Walau bagaimanapun, penjaja statik atau peniaga gerai sedia ada berlesen di dalam lingkungan 40 meter dari pagar sekeliling sekolah, dibenarkan menjual makanan dan minuman tetapi perlu mematuhi senarai makanan dan minuman yang dilarang dijual.

Senarai Makanan dan Minuman Yang Dilarang Dijual Oleh Penjaja Berlesen di Luar Pagar Sekolah:
- Gula-gula dan coklat.
- Jenis-jenis makanan yang telah dijeruk sama ada masam, masin atau manis, basah atau kering seperti asam masin, jeruk mangga, kulit limau dan jeruk bawang.
- Makanan ringan atau makanan rapu yang mengandungi bahan perisa dan pewarna tiruan.
- Makanan dan minuman yang mengandungi alkohol.
- Makanan dan minuman yang melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Minuman ringan bergas dan minuman yang menggunakan bahan pewarna serta minuman berperisa, kecuali susu berperisa, adalah tidak digalakkan dijual.

Konfeksi ais dan ais krim tidak digalakkan dijual. Makanan diproses seperti burger, sosej dan nugget juga tidak digalakkan dijual.

Senarai ini adalah selaras dengan senarai makanan dan minuman yang dilarang dijual di kantin sekolah seperti di dalam Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat terbitan Kementerian Pelajaran Malaysia, 2011

Pelaksanaan Garis Panduan Penguatkuasaan Larangan Penjualan Makanan dan Minuman di Luar Pagar Sekolah oleh Pihak Berkuasa Tempatan ini hendaklah selaras dengan akta dan peraturan yang sedang berkuatkuasa.

Setiap PBT bertanggungjawab melakukan penguatkuasaan terhadap sebarang penjualan makanan dan minuman di luar pagar sekolah berdasarkan kepada peraturan yang telah dinyatakan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah bertanggungjawab memantau pelaksanaan bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi oleh semua PBT.

No comments:

Post a Comment