Wednesday, 14 August 2019

KEISTIMEWAAN RASA DURIAN DAUN

Durian banyak jenis. Setiap jenis ada kelebihan atau peminat tersendiri. Salah satu jenis durian dipanggil durian daun. Dikenali durian daun kerana berwarna hijau daun dari peringkat muda hingga gugur.

Pokok durian daun boleh dianggap tumbuhan liar. Jarang orang menanam durian daun. Buah durian daun berbentuk bulat seperti bola dengan berat kurang dari 1 kilogram. Warna buah tetap hijau dari muda sampai buah masak dan jatuh dari pohon.

Setelah gugur, durian daun boleh disimpan lebih lama berbanding jenis durian lain. Kulitnya tidak mudah merekah biarpun disimpan lama.

Duri pada durian daun lebih panjang dibandingkan durian biasa dan sedikit lembut yang jika dipegang tidak terasanya kesan tajam dirinya.

Buah durian daun mudah dikopek. Isi buah durian daun agak nipis dan bilangan ulas biasanya satu atau dua ulas sahaja untuk satu pangsa. Namun, ada juga jenis isi yang tebal.

Rasa atau bau isi buah durian daun agak tengik atau maung. Bau menusuk sampai ke kepala. Sebab itu tidak ramai suka makan durian daun. Sebab itu juga mengapa orang tidak menanam durian daun.

Durian daun bukan sahaja tidak disukai manusia, bahkan tupai juga tidak gemar durian daun. Jadi, buah durian daun terselamat dari ancaman tupai.

Namun, bagi orang yang sudah biasa makan durian daun, bau tengik tidak menjadi penghalang untuk menikmatinya. Maka, tidak pelik ada orang lebih suka makan durian daun berbanding durian biasa. Rasa durian daun dianggap istimewa lain dari yang lain.

No comments:

Post a Comment